Terjemahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengecamkan tindakan tentera Amerika Syarikat memasukkan al-Quran dalam tandas di Guantanamo Bay, Cuba, demikian menurut laporan Bernama .

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perbuatan memasukkan Al-Quran dalam tandas di Guantanamo Bay, Cuba, adalah menghina umat Islam.

"Menyedihkan kita kerana ia menghina umat Islam," kata beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

"Kalau kita tak lemah, maju dan kuat, tiada siapa yang boleh ganggu kita," tegas beliau.

Kejadian tersebut telah mencetus demonstrasi ganas selama tiga hari di Afghanistan yang mengakibatkan 14 terkorban manakala 120 lagi cedera. Anggota pasukan keselamatan dan polis terpaksa bertempur dengan orang ramai yang menyertai bantahan tersebut.

Minggu lalu, majalah Newsweek melaporkan penyiasat di pusat tahanan tentera Amerika di Guantanamo telah memasukkan nashkah al-Quran dalam tandas, untuk menghina tahanan Islam di situ.

Newsweek minta maaf

Bagaimanapun semalam, Newsweek memohon maaf dengan menyatakan laporannya mengenai dakwaan penyiasat tentera Amerika memasukkan kitab suci umat Islam itu ke dalam lubang tandas, adalah tidak tepat.

Menurut laporan Reuters , majalah mingguan itu berkata maklumat tersebut diperolehi dari "sumber kerajaan yang mengetahui", yang memberitahu Newswee k bahawa laporan mengenai penindasan di Guantanamo Bay ada menyebut satu nashkah al-Quran dimasukkan ke dalam lubang tandas, untuk memaksa tahanan memberi maklumat.

Bagaimanapun, Newsweek berkata, sumber itu kemudiannya memberitahu majalah tersebut yang dia tidak pasti apa yang dilihatnya, dan ia mungkin terkandung dalam dokumen atau draf penyiasatan yang lain.

- AFP