Paling Popular
Terkini

ULASAN Tokoh kesusasteraan dan kewartawanan George Orwell pernah dengan lantang mengatakan: "Kebebasan media, jika ia bererti apa-apa, ialah kebebasan untuk mengkritik dan menentang."

Penulis novel berhantu 1984 itu amat kental menentang apa yang dilihat sebagai usaha pembodohan masyarakat sepanjang hayatnya.

Lahir dalam keluarga kelas menengah di England, beliau menimba pengalaman sebagai polis di Asia Tenggara sebelum hidup bersama gelandangan di kota Paris dan London sebelum menulis buku Down and Out in Paris (dan kemudiannya Down and Out in London) karya kewartawananannya berdasarkan pemerhatian kehidupan beliau.

Orwell dengan lantang menentang keseluruhan sistem yang menganaktirikan kebajikan sosial rakyat yang rata-rata menjadi tabiat kerajaan dan orang-orang kaya di Eropah ketika itu.

Menurut Orwell lagi, media, sebagai suara penyampai kepada pihak pentadbir wajib memainkan peranan menyampaikan suara-suara 'tidak enak' kepada orang awam; satu kesinambungan kepada kebebasan untuk berfikir dan bersuara yang wajib ada kepada setiap umat manusia.

Satu lagi karya agung beliau adalah Animal Farm, karya satira yang mengisahkan sekumpulan khinzir merampas kuasa di sebuah ladang, sebagai alegori pemimpin masyarakat yang tidak lagi mengendahkan 'suara kurang enak' dan kritikan rakyat.

Kebebasan media acapkali dibahas dan diperkatakan di negara dan rantau ini. Malah media, khususnya majalah, makalah dan suratkhabar memainkan peranan amat penting sebagai suara tentangan pasca Perang Dunia Kedua yang menyahkan cengkaman kuasa imperialis dari rantau Asia Tenggara Khususnya Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Bukan hanya 'berita baik'

Tanpa Utusan Malayu, Berita Harian, Straits Times dan lain-lain akhbar yang diusahakan oleh pejuang dan pemikir bangsa dan negara dulu, amat sukar bagi rakyat Malaya (dan Malaysia) bersuara bagi menentang penjajahan kuasa imperialis serta elemen komunis Mao Zedong satu ketika dulu.

Kini, seiring dengan aliran zaman, media berkembang dari cetakan kepada alam maya dan sudah menjadi norma kepada kehidupan masyarakat bukan saja di Malaysia tapi di seluruh dunia.

Walaupun masih dianggap sebagai media terpencil (secara rasmi) oleh kerajaan, peranan media maya sudah mengambil alih media cetak.

Buktinya semua media cetak tradisional seperti Utusan dan Berita Harian turut mempunyai versi atas talian bagi menjangkau pembaca yang tidak lagi biasa membelek helaian-helaian kertas.

Tugas sama masih digalas media sebegini, untuk menyampaikan 'suara' dari golongan yang tidak dipedulikan pihak berkuasa, terutamanya dalam keadaan pihak tertentu masih menganggap media hanya patut menyampaikan 'berita baik' kepada masyarakat awam.

Namun tahun demi tahun, dengan bilangan pembaca dan mereka yang bergantung kepada media sebegini makin bertambah, menyebabkan sukar untuk melenyapkan siaran daripada media alam maya yang begitu senang menembusi masyarakat pelbagai lapisan negara ini.

Memang ada kritikan, sama ada patut atau tidak, media yang dianggap tidak berpihak ini wajib dipertahankan.

Media juga harus dikritik, tapi...

Dengan hampir semua media konvensional menjadi suara kepada satu pihak sahaja, ditambah kekangan pelbagai akta serta sekatan untuk mewakili suara-suara kritikan dan penentangan, kehadiran media sebegini bukan sahaja perlu, tetapi wajib bagi menjamin kebebasan berfikir dan bersuara sesebuah negara.

Bagaimanapun, harus diingat, tiada apa yang sempurna di dunia ini. Media yang mengaku tidak berpihak juga harus dikritik dan dipersoal dalam masyarakat yang berfikir secara sihat.

Atas kenyataan itu, tindakan pemimpin Umno Jamal Mohamed Yunos atau sesiapa pun untuk berdemonstrasi di hadapan Malaysiakini patut disokong semua pihak yang rasional di negara ini.

Ini kerana media bertanggungjawab patut dan wajib berada di tengah-tengah gelora pemikiran masyarakat terutamanya di kala Malaysia meniti perubahan dalam dunia pasca Barack Obama dan Mahathir Mohammad ini.

Walau demikian, sebagai pemimpin rasional dan mampu berfikir, Jamal seharusnya meluahkan hujah rasional dan bukannya tuduhan melulu.

Jika tidak, ia hanyalah membuktikan betapa Orwell, dalam Animal Farm, dengan kisah satira di ladang Encik Jones itu, bukan lagi alegori Soviet, tetapi sebuah negara kecil yang kononnya memperjuangkan demokrasi di rantau Asia Tenggara.


RADZI RAZAK aktivis media bebas melalui Gerakan Media Merdeka (dahulunya dikenali sebagai Gerakan Media Marah) atau GERAMM.

Lihat Komen
ADS