Siasatan geran OSF, Maria memilih berdiam diri
Maria Chin Abdullah memilih untuk tidak menjawab soalan-soalan polis apabila disiasat di Bukit Aman pagi ini berhubung penerimaan geran Open Society Foundation (OSF) kepada BERSIH.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan yang berkaitan cubaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
"Beliau memilih untuk tidak menjawab soalan dan jika perlu, akan menjawab di mahkamah," kata peguamnya Farhana Abdul Halim kepada pemberita selepas mereka meninggalkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Maria juga mendedahkan bahawa laporan terhadap BERSIH berhubung dana OSF itu dibuat oleh pihak polis sendiri dan berdasarkan dari artikel Malay Mail bertajuk 'Leaked minutes show planned foreign intervention in polls'.
Sebelum ini, Maria menjelaskan bahawa BERSIH pernah menerima pembiayaan sekali sebanyak RM70,000 di antara tahun 2010 dan 2011 dari OSF, yang dikaitkan dengan jutawan Amerika George Soros.

