Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) menafikan tindakan mereka melakukan sekatan di Pos Tohoi, Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah sebagai menyusahkan penduduk setempat.

Pengerusi JKOAK, Azmi Badul berkata, pihaknya hanya melakukan sekatan terhadap orang luar dan bukan kepada masyarakat Orang Asli yang melalui jalan berkenaan.

"Sebenarnya sekatan itu tidak menyusahkan Orang Asli untuk keluar masuk. Biasanya Orang Asli yang nak masuk ke kampung mereka kita tak halang.

"Kami tak tahan Orang Asli malah mereka boleh keluar masuk seperti biasa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Orang Asli Semenanjung bahagian Kelantan, Ajom Alang yang mengatakan sekatan dibuat menyusahkan penduduk Orang Asli.

Selain itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ajom yang mencadangkan agar sekatan dibuat di kawasan pembalakan dan bukannya di jalan utama, Azmi berkata isu utama yang ingin disampaikan ialah menggesa kerajaan negeri mengiktiraf tanah adat Orang Asli.

"Isunya bukan sekatan di kawasan pembalakan atau apa, sekatan itu nak tunjuk bahawa Orang Asli bantah pembalakan. Tidak kisah (sekatan) di jalan balak atau tidak, bukan itu isu dia.

"Yang penting mesej pada kerajaan untuk hentikan pembalakan dan iktiraf tanah adat Orang Asli," katanya.

Azmi turut menegaskan, sekatan yang dibuat bersebab memandangkan selama ini rundingan bersama kerajaan negeri Kelantan tidak diendahkan.

"Kami terpaksa buat cara ini untuk beri mesej kami. Perkara ini dibuat ada sebab," ujarnya lagi.

Ajom minta berhemah, jangan berontak

Sebelum ini, terdapat sebaran rakaman video oleh Ajom yang tidak berpuas hati ekoran sekatan yang dibuat oleh sekumpulan Orang Asli yang diketuai oleh Azmi dan Setiausaha JKOAK, Mustafa Along.

Malah, dalam video sepanjang kira-kira enam minit itu, Ajom turut memberitahu bahawa sekatan yang dibuat oleh NGO berkenaan memalukan Orang Asli.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ajom menjelaskan bahawa tindakan JKOAK dilihat memburukkan nama Orang Asli ekoran sekatan serta piket yang dilakukan.

Ajom turut menasihatkan kepada Orang Asli yang pro-JKOAK supaya melakukan rundingan secara berhemah dan tidak memberontak.

"Jangan buat macam itu. JKOAK dah buat piket, demonstrasi sana, sini. Jadi bila buat macam ini, ia terpalit sekali nama Orang Asli. Saya rasa malu kerana seolah-olah Orang Asli Kelantan ini semuanya suka memberontak.

"Padahal segelintir sahaja," kata Ajom yang tinggal di perkampungan Orang Asli di Kuala Betis.

Katanya lagi, beliau turut mencadangkan supaya sekatan hanya dibuat di kawasan pembalakan dan bukan di jalan utama bagi memudahkan perjalanan Orang Asli.

"Buatlah di tempat tertentu. Buat di laluan orang ramai menyusahkan masyarakat Orang Asli di pedalaman.

"Kena ingat, kawasan pedalaman ini kalau jalan dah runtuh, nak keluar masuk susah," katanya.
Sokong perjuangan, bukan caranya

Bagaimanapun Ajom berkata, beliau secara peribadi bersetuju dengan perjuangan yang dibuat JKOAK yang mahu memelihara alam sekitar di hutan berkenaan namun tidak bersependapat dengan tindakan yang dibuat.

"Memanglah kalau habis kayu ditebang, (hutan) botak itu perkara tak baik. Saya setuju (dengan JKOAK) tetapi ada caranya.

"Bukan tak setuju (dengan JKOAK) cuma cara itu yang tak setuju. Orang Asli ini ada budaya dan berhemah. Kita tak nak ikut cara agresif," katanya lagi.

Pada September lalu, laluan ke kawasan HSK Balah disekat oleh Orang Asli dari suku kaum Temiar bagi menghalang kayu balak dikeluarkan dari kawasan Pos Tohoi.

Ekoran halangan yang dibuat, kemudian tercetus kekecohan antara pekerja syarikat yang diberi lesen menebang pokok dan Orang Asli sehingga pembalak bertindak melepasi sekatan yang dibuat.

Sehingga hari ini, sekatan masih lagi dilakukan malah pihak JKOAK merancang untuk menambah lagi lokasi sekatan di beberapa kawasan lain.