Rafizi beri 7 hari kepada Asyraf Wajdi untuk saman atau...
Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini memberikan tempoh selama tujuh hari kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk menyamannya berhubung tuduhan menfitnah Tabung Haji.
Jika tidak mahu menyaman, beliau perlu berdebat secara terbuka di depan orang ramai untuk membuktikan tuduhan telah memfitnah Tabung Haji, kata setiausaha agung PKR itu.
"Asyraf Wajdi boleh menyaman atas kapasiti beliau sendiri atau mengarahkan Tabung Haji menyaman sekiranya saya memfitnah Tabung Haji seperti yang didakwa.
"Jika tidak, beliau perlu bersetuju berdebat secara terbuka di depan orang ramai untuk membuktikan tuduhan beliau bahawa saya telah memfitnah Tabung Haji," katanya dalam kenyataan.
Menurut Rafizi, beliau telah menghantar satu surat rasmi kepada Asyraf Wajdi mengenai cadangan-cadangan tersebut.
Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah berkata, organisasi tersebut kini mempunyai nilai aset boleh direalisasikan berjumlah RM64.74 bilion berbanding liabiliti kepada pendeposit sebanyak RM59.33 bilion.
Justeru, ujar Johan, pihak mampu untuk mengembalikan kesemua deposit oleh pencarum jika wujud keperluan untuk berbuat demikian.
Lebih dari itu, tambah Johan, dana pendeposit TH juga selamat kerana dijamin oleh kerajaan di bawah Akta Lembaga Tabung Haji 1995.
Rafizi pula mendakwa dana TH berada dalam kedudukan defisit sekitar RM3 bilion ekoran kerugian yang ditanggung daripada aktiviti pelaburan.
Menurut setiausaha agung PKR itu, kerugian berkenaan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 itu menyebabkan dana terkumpul semasa ialah RM56.24 bilion berbanding jumlah deposit terkumpul sebanyak RM59.33 bilion.
"Minggu lalu Tabung Haji telah mengeluarkan keputusan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan terkini 31 Disember 2015 dan menerusi analisis pergerakan dana pendeposit menunjukkan jumlah simpanan bersih bagi tahun itu merosot lapan peratus sedangkan selama enam tahun dari 2009 hingga 2015 simpanan bersih bertambah pada purata 22.6 peratus.
"Dengan angka-angka yang tidak memberangsangkan sebegini, sudah tentu ia tidak mengejutkan apabila analisa kebolehupayaan Tabung Haji membayar semula simpanan pendepositnya menunjukkan jika pendeposit mengeluarkan sekaligus pada tempoh itu ia akan kekurangan wang untuk memulangkan semua simpanan," katanya pada sdang media di Parlimen.
Untuk tahun kewangan 2015, TH mencatatkan perolehan sebanyak RM4.08 bilion, meningkat sebanyak 37 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai pula sebanyak RM3.54 bilion, 18.7 peratus lebih tinggi daripada 2014, menurut laporan tahunan TH.
Jumlah aset kumpulan itu pula, setakat 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM60.19 bilion berbanding RM734.2 juta dalam jumlah liabiliti yang ditanggungnya.

