Rang undang-undang kasalahan penerbangan ditarik balik
Rang Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Penerbangan 2005 yang bertujuan menguatkuasakan peraturan mengenai kesalahan keganasan di lapangan terbang, ditarik balik setelah dibahaskan di persidangan Dewan Negara hari ini.
Rang Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Penerbangan 2005 yang bertujuan menguatkuasakan peraturan mengenai kesalahan keganasan di lapangan terbang, ditarik balik setelah dibahaskan di persidangan Dewan Negara hari ini.
Rang undang-undang itu yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua minggu lalu, ditarik balik setelah beberapa ahli Dewan Negara membangkitkan kelemahan rang undang-undang itu yang hanya menitikberatkan lapangan terbang yang mengendalikan penerbangan awam antarabangsa dan tidak lapangan terbang domestik.
Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, yang sepatutnya menggulung perbahasan rang undang-undang itu sebelum ia diluluskan, memaklumkan kepada ahli dewan bahawa rang undang-undang itu ditarik balik.
Rang undang-undang itu dipinda bagi memperluaskan pemakaian Protokol bagi Pembanterasan Tindakan-Tindakan Keganasan Dengan Menyalahi Undang-Undang di Lapangan Terbang Yang Menyediakan Penerbangan Awam Antarabangsa, yang dibuat di Montreal pada 24 Februari 1988, hanya menekankan lapangan terbang yang mengendalikan penerbangan awam antarabangsa.
Malah seksyen baru 10A rang undang-undang itu juga turut menekankan yang ia satu kesalahan untuk melakukan tindakan keganasan terhadap seseorang di lapangan terbang yang menyediakan penerbangan awam antarabangsa sama ada menyebabkan kecederaan serius, kematian, kemusnahan atau merosakkan dengan serius kemudahan lapangan terbang itu atau pesawat udara yang tidak dalam khidmat.
Senator Lee Sing Chooi dalam perbahasannya pagi tadi membangkitkan bahawa rang undang-undang itu tidak lengkap, antaranya kerana ia hanya melindungi lapangan terbang awam antarabangsa dan tidak lapangan terbang awam domestik.
Beliau berkata pindaan itu perlu memasukkan juga lapangan terbang awam domestik kerana berdasarkan kejadian keganasan yang berlaku pada 11 September di Amerika Syarikat, kapal terbang domestik telah digunakan.
Sistem keselamatan lemah
Dalam kejadian itu, pengganas telah menggunakan penerbangan domestik untuk menyerang bangunan World Trade Centre di New York dan bangunan Pentagon di Washington.
Lee berkata kejadian menceroboh ruang udara White House minggu lalu turut membabitkan pesawat penerbangan domestik.
"Seksyen Baru 10A rang undang-undang itu pula kesemuanya menyentuh mengenai lapangan terbang yang menyediakan penerbangan awam antarabangsa," katanya.
Lee berkata: "Ia berpasangan. Lapangan terbang antarabangsa dengan domestik mesti diambil kira berpasangan, seperti sepasang kekasih yang tidak boleh dipisahkan."
Beliau berkata berdasarkan pengalaman, kawalan keselamatan di lapangan terbang domestik selalunya lebih lemah jika dibandingkan dengan kawalan keselamatan lapangan terbang antarabangsa.
"Lapangan terbang domestik lebih terdedah kepada tindakan keganasan kerana alat-alat yang kurang canggih digunakan dan kawalan keselamatan yang lebih lemah."
"Jumlah lapangan terbang domestik itu lebih banyak dan sesetengah lapangan terbang domestik itu berada di kawasan pedalaman dan juga berdekatan sempadan, ini juga meningkatkan risiko," kata Lee.
Kerosakan tidak serius
Beliau berkata kerajaan perlu mengambil kira jumlah penerbangan domestik yang tinggi yang boleh meningkatkan risiko tindakan keganasan.
Sementara itu, Senator Tay Puay Chuan pula mahu rang undang-undang itu turut menitikberatkan kecederaan ringan dan kerosakan tidak serius daripada hanya tertumpu kepada perkara-perkara yang serius sahaja.
"Adakah mereka yang melakukan kecederaan ringan dan kerosakan tidak serius ini tidak akan diambil tindakan?" tanyanya.
Beliau berkata kesalahan kerana menyebabkan kecederaan dan kerosakan yang tidak serius perlu didakwa mengikut akta yang sama.
Sementara itu, Senator Datuk Yaakob Mohammad pula menyarankan definasi perkataan "serius" dikaji semula kerana ia memberikan satu gambaran yang tidak terhad.
Senator Wan Ubaidah Omar pula mencadangkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang bertindak menjejaskan penerbangan dengan membuat kenyataan palsu seperti kes seorang remaja yang mendakwa beliau membawa senjata dalam penerbangan sehingga menyebabkan penerbangan tertangguh.
"Kesalahan seperti itu perlu didakwa mengikut akta yang sama kerana ia telah mengakibatkan "kerosakan" walaupun tidak melibatkan kerosakan fizikal," katanya.

