Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib lantik bos Alibaba jadi penasihat ekonomi digital
Diterbitkan:  Nov 4, 2016 5:01 PM
Dikemaskini: 12:07 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini mengumumkan pelantikan pengerusi eksekutif Alibaba dan usahawan internet, Jack Ma sebagai penasihat ekonomi digital kepada kerajaan.

"Jack Ma sudah menerima pelawaan untuk menjadi penasihat kepada Kerajaan Malaysia mengenai ekonomi digital.

“Beliau akan menasihatkan kita dan membantu dalam menerokai, memajukan dan menentu hala tuju masa depan kita dalam sektor ini," katanya di Beijing yang dipetik oleh Berita Harian Online.

Najib yang berada di China, berkata Ma juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Forum Transformasi Global Malaysia pada Mac tahun depan.

Alibaba adalah platform e-dagang perniagaan terbesar dunia.

Najib membuat pengumuman itu ketika melancarkan Pavilion Alitrip Malaysia Tourism di China World Hotel, di Beijing.

Alitrip adalah aplikasi tempahan perjalanan melalui Alibaba.

Alitrip baru-baru ini terpalit dalam kontroversi selepas nama Cina syarikat itu dijenamakan semula sebagai "babi terbang". Walau bagaimanapun, nama Inggeris yang digunakan adalah "fliggy".

Menurut BBC, penjenamaan semula itu mengecewakan jutaan umat Islam di China, termasuk ahli perniagaan Uighur, Adil Memettur yang mengkritik nama baru itu di Sina Weibo, versi twitter China.

Seorang jurucakap Alibaba kemudian memberitahu BBC bahawa penjenamaan semula sebagai "terbang babi" itu adalah untuk menarik demografi golongan lebih muda.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS