Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suami isteri maut kereta dihempap mesin pencerucuk besi
Diterbitkan:  Nov 4, 2016 6:58 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Sepasang suami isteri maut apabila kereta yang mereka naiki dihempap sebuah mesin pencerucuk besi yang tumbang ketika melalui kawasan tapak pembinaan di Bandar Baru Bukit Raja di Klang hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, dalam kejadian 12.35 tengah hari itu, mangsa, Abd Rahim Abd Rahman, 51, dan isterinya, Nurhayati Rosli, 46, warga Indonesia, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk bedah siasat," katanya di Klang hari ini.

Sementara itu, menantu lelaki pasangan berkenaan, Adik Cendera Shahril, 31, berkata ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan ke masjid berhampiran Bandar Bukit Raja bagi menunaikan solat Jumaat selepas menghantar barangan keperluan ke kedai mereka di pasaraya Tesco Setia Alam.

"Mereka berniaga nasi campur di pasaraya Tesco dan setiap pagi mangsa yang menetap di Kuala Lumpur akan ke sini menghantar barang seperti sayur dan ikan.

"Kebiasaannya anak lelaki saya yang berumur lima tahun akan mengikut mereka ke sini tetapi hari ini dia tidak ikut kerana tidur di rumah," katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat HTAR di Klang.

Tambahnya, jenazah Nurhayati akan dibawa ke Medan, Indonesia untuk dikebumikan sementara Abd Rahim akan dikebumikan di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Yusoff Mamat meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

"Tiada CCTV (sistem kamera litar tertutup) berdekatan kawasan kemalangan. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS