Dana Soros: AG belum terima kertas siasatan
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengakui pejabatnya masih belum menerima kertas siasatan berhubung dakwaan dana asing diguna untuk memudaratkan demokrasi berparlimen.
Katanya, ini kerana siasatan lanjut masih dijalankan terhadap Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan oleh jutawan George Soros.
"Dalam siasatan. Tidak terima apa-apa lagi," katanya ringkas pada majlis pelancaran bukunya yang bertajuk 'Fiat Justitia', yang dirasmikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, di Kuala Lumpur, hari ini.
Buku setebal 796 muka surat itu dijual dengan harga RM220. Ia boleh dibeli di kedai-kedai buku utama seperti MPH dan Kedai Buku Popular bermula Isnin depan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat portal berita bebas, Malaysiakini yang didakwa menerima dana tajaan dari Amerika Syarikat itu.
Sebelum ini dilaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyiasat aduan berhubung penyaluran dana asing kepada portal berita tertentu dengan niat menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi di negara ini.
Sehubungan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, laporan akan diserahkan kepada pihak peguam negara untuk tindakan lanjut.
Pada majlis pelancaran itu, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini berterima kasih kepada Apandi kerana mempengaruhinya untuk mengambil jurusan undang-undang.
Arifin melahirkan rasa terhutang budi dengan Apandi yang telah dikenalinya sejak di zaman persekolahan mereka di Kolej Sultan Ismail Kota Bharu, Kelantan.
"Beliau (Apandi) merupakan salah seorang yang memainkan peranan penting ketika saya mengubah kursus saya daripada pengajian sains politik kepada undang-undang.
"Saya menyedari bahawa ia sememangnya nasihat yang tepat. Ini berlaku semasa saya tiba di London. Saya banyak terhutang budi kepada Apandi," kata Arifin.
Afirin turut memberitahu bahawa Apandi adalah seorang yang berpegang teguh ketika melaksanakan kerja kehakimannya ketika menjadi pesuruhjaya kehakiman, hakim Mahkamah Tinggi, hakim Mahkamah Rayuan dan hakim Mahkamah Persekutuan.

