Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bidan ditemui mati di tepi jalan
Diterbitkan:  Nov 5, 2016 6:11 AM
Dikemaskini: 10:15 PM

Seorang bidan tradisional ditemukan mati dipercayai akibat serangan jantung di tepi Jalan Besar Malim Nawar, Simpang
Taman Malim Mawar di Kampar semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata mangsa M. Muniamah, 66, dari Ipoh dipercayai dalam perjalanan ke Malim Nawar kelmarin untuk melakukan rawatan terhadap seorang wanita yang baru melahirkan anak.

"Suami wanita berkenaan yang juga pengadu cuba menghubungi mangsa kira-kira pukul 7.45 malam tetapi tidak berjawab.

"Wanita itu kemudian menghubungi anak mangsa dan telah diberitahu yang mangsa telah keluar rumah sejak pukul 3 petang. Pengadu serta rakan-rakannya kemudian cuba mencari mangsa di sekitar Malim Nawar tetapi gagal," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, mangsa ditemui telah meninggal dunia oleh orang awam pada pukul 8 pagi semalam.

Menurut Ng, hasil siasatan mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa, tetapi terdapat buih yang keluar dari mulutnya.

Beliau berkata polis percaya tiada unsur jenayah yang berlaku memandangkan rantai leher, subang, gelang tangan serta beg yang mengandungi dokumen serta ubat-ubatan masih berada pada mangsa.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kampar dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan penyakit arteri koronari.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS