Cadangan moto baru polis Mesra, Cekap Dan Beramanah
Suruhanjaya Diraja untuk Penambahbaikan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya "Mesra, Cekap Dan Beramanah" dijadikan satu moto inspirasi bagi pasukan polis dalam era baru ini, bagi menggantikan slogan sekarang "Mesra, Cepat Dan Betul".
Suruhanjaya Diraja untuk Penambahbaikan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya "Mesra, Cekap Dan Beramanah" dijadikan satu moto inspirasi bagi pasukan polis dalam era baru ini, bagi menggantikan slogan sekarang "Mesra, Cepat Dan Betul".
Menurutnya, ini selaras dengan harapan rakyat dan negara supaya polis mesra rakyat, cekap, bebas daripada rasuah, menghormati hak-hak asasi manusia dan kebolehpercayaan.
Cadangan ini terkandung dalam laporan suruhanjaya tersebut kepada kerajaan yang mengandungi 125 cadangan mengenai cara-cara untuk memperbaiki kredibiliti pasukan polis hari ini.
Menurutnya,"Mesra" hendaklah diterjemahkan sebagai mesra rakyat dan menjaga kebajikan mereka manakala"Cekap" ialah efisien dan segera dalam perkhidmatan.
"Amanah" hendaklah ditanamkan sebagai satu kepercayaan, bebas daripada rasuah dan menghormati hak-hak orang ramai, tegasnya.
Moto sekarang, "Mesra, Cepat dan Betul" dilancarkan pada Mac 1999 dan objektifnya ialah untuk membentuk satu budaya perkhidmatan yang mesra, cepat dan profesional dalam pasukan polis.
Mengenai cadangan penubuhan 'Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)', ia berkata, suruhanjaya tersebut tidak akan mengambil alih tugas atau mengatasi badan bebas sedia ada dalam menyiasat aduan terhadap pihak polis.
Bidang tugas suruhanjaya bebas (IPCMC)
Sebaliknya, IPCMC akan saling melengkapi dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), dan akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan bahagian tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam mencegah, mengesan dan menyiasat amalan rasuah dan salahlaku serius dalam PDRM.
IPCMC itu pula boleh mengambil tindakan bersesuaian terhadap anggota polis yang didapati bersalah atas salahlaku atau kesalahan lain dalam Akta IPCMC, termasuk dibebaskan dengan amaran keras, penahanan elaun dan kenaikan gaji, penurunan pangkat, denda atau ditamatkan perkhidmatan.
Selain menerima aduan orang awam mengenai dakwaan salah laku polis, IPCMC akan turut mempunyai kuasa menentukan sama ada hendak menyiasat sendiri aduan itu atau bersama agensi lain.
IPCMC juga boleh memulakan siasatan walaupun tidak menerima sebarang aduan serta berkuasa mengarahkan PDRM atau agensi lain mengemukakan apa-apa dokumen atau item yang mempunyai kaitan dengan kes untuk pemeriksaan.
Di samping itu, laporan tersebut juga menyebut, IPCMC boleh mengarahkan PDRM membuat siasatan dan mengemukakan hasil siasatan serta cadangan kepada IPCMC untuk keputusan.
Komposisi suruhanjaya bebas (IPCMC)
Terdiri daripada tujuh pesuruhjaya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan anggotanya tidak boleh terdiri daripada pegawai polis yang sudah bersara atau yang sedang berkhidmat.
Setiap pesuruhjaya dihadkan tempoh perkhidmatan mereka kepada tiga tahun dan akan mengemukakan laporan tahunan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri sebelum dibentangkan kepada parlimen.
Suruhanjaya Diraja itu antara lain turut mencadangkan PDRM melancarkan kempen dengan sokongan kerajaan untuk menjalinkan kerjasama dengan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk meningkatkan keselamatan.
Kerjasama itu akan menyediakan peluang bagi polis memperkukuhkan pendekatan siasatan yang proaktif dan kawalan jenayah berpandukan risikan dengan memperluas rangkaian sumber, pemberi dan pengumpul maklumat.
Menurut laporan itu, kerjasama terbabit merupakan strategi kepolisan moden untuk meningkatkan pencegahan dan sekatan jenayah serta membantu menangani isu seperti keganasan rumah tangga, kaunseling untuk mangsa wanita dan kanak-kanak dan tahanan reman serta penagihan dadah.
Pindaan seksyen Kanun Prosedur jenayah (KPJ)
Pihak suruhanjaya mencadangkan dua pindaan dan satu penggantian bagi peruntukan baru dalam Seksyen Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) pindaan pada Seksyen 107(1) dan Seksyen 108A serta menggantikan Seksyen 113 KPJ dengan peruntukan baru.
Pindaan Seksyen 107(1) KPJ adalah untuk membolehkan mana-mana pegawai polis yang bertugas sama ada di dalam atau luar balai, menerima laporan orang ramai. Pada masa ini, ia hanya boleh dilakukan oleh pegawai menjaga balai atau pegawai yang diarahkannya, merakamkan maklumat lisan perlakuan sesuatu jenayah dalam bentuk bertulis.
Pihak suruhanjaya berpandangan tugas menerima maklumat berkaitan perlakuan jenayah seharusnya diperluaskan ke semua pondok polis, anggota di pondok polis dan anggota yang meronda.
Orang awam juga, katanya, seharusnya boleh membuat laporan polis dengan cara paling selesa seperti melalui e-mel, lamanweb, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau telefon, di balai atau pondok polis laporan yang diterima melalui cara itu boleh dikira sebagai Laporan Maklumat Pertama.
Ia berkata satu prosedur menerima laporan di luar balai polis juga harus diwujudkan dan setiap balai mempamerkan notis seragam di balai, memaklumkan kepada pengadu mereka boleh membuat laporan di mana-mana balai polis, berserta nombor talian Unit Tatatertib Polis, di mana pengadu boleh merujuk sebarang masalah mereka.
Cadangan pindaan Seksyen 108A KPJ pula untuk memastikan salinan sah laporan atau dokumen yang diperakui oleh Ketua Polis Daerah (KPD) tersedia untuk pengadu dalam masa tujuh hari selepas mereka membuat laporan bagi mengelak kelewatan mendapatkan salinan sah secara bertulis di bawah peruntukan itu daripada polis.
Suruhanjaya juga mendapati Seksyen 2(1) KPJ membenarkan Ketua Polis Negeri melantik mana-mana pegawai untuk melaksanakan tugas KPD jika dia tidak dapat melakukannya sebab tidak hadir, sakit dan sebagainya.
Di bawah peruntukan itu juga, PDRM disyorkan supaya semua kemudahan seperti Sistem Pelaporan Polis (PRS) dan mesin fotostat disediakan di semua balai polis untuk mengatasi masalah kelewatan pengadu mendapatkan salinan laporan sah.
Pemansuhan Seksyen 113 KPJ
Mengenai cadangan penggantian Seksyen 113 KPJ ia membabitkan peruntukan baru mengenai "Pengambilan Pernyataan atau Pengakuan Daripada Tertuduh" memandangkan banyak dakwaan tentang kekejaman polis dibuat dan ini memberi publisiti negatif terhadap pihak polis.
Pihak suruhanjaya telah menerima aduan di mana pengadu mendakwa dipukul, dianiaya dari segi fizikal dan mental semasa mereka direman supaya mereka membuat "pengakuan" terhadap tuduhan jenayah ke atas mereka.
Oleh itu, pihak suruhanjaya itu mengesyorkan supaya seksyen itu dimansuhkan kerana siasatan itu bukan lagi berteraskan keterangan tetapi pengakuan dan mencadangkan semua pernyataan suspek tidak dijadikan sebagai pernyataan yang boleh diterima, melainkan dalam hal dan keadaan yang sangat terbatas.
Menurutnya, pengambilan pernyataan daripada semua orang, termasuk orang yang ditangkap tetapi belum lagi dituduh, hendaklah dilakukan mengikut Seksyen 112 KPJ apabila Seksyen 113 yang sedia ada ini dimansuhkan.
Rumah dan tempat kerja lebih baik
Pihak suruhanjaya mencadangkan supaya rumah untuk anggota polis yang sudah lama, buruk dan tidak dijaga dengan baik, dibaik pulih dan diganti baru. Ini termasuk pendawaian elektrik dan saluran paip yang sering rosak, bumbung bocor, dinding retak, tandas rosak dan kawasan rumah sempit kerana ada satu atau dua bilik sahaja.
Berikutan itu, suruhanjaya mencadangkan sebuah tabung khusus diwujudkan supaya masalah perumahan yang usang dan tidak dijaga dengan baik, tidak akan berlaku lagi. Ia juga mencadangkan supaya polis memainkan peranan lebih proaktif dalam memulihkan projek "tenat", termasuk projek pembinaan 2,889 unit rumah untuk menyelesaikan masalah kekurangan rumah bagi anggota pasukan itu.
Manakala lokasi-lokasi yang amat memerlukan pembinaan rumah anggota dikenalpasti di Perak, Kelantan, Sarawak, Negeri Sembilan dan juga ibupejabat polis di Bukit Aman. Ia turut mencadangkan supaya PDRM mencari perumahan alternatif, terutama di bandar utama bagi menyediakan rumah mencukupi untuk anggotanya.
Menurutnya, kerajaan seharusnya membangunkan kembali program membeli bangunan yang sesuai seperti apartmen atau rumah kos rendah dan sederhana dari pemaju swasta dan disewa kepada PDRM untuk memberi kemudahan kepada anggotanya semasa menunggu unit rumah institusi mereka disiapkan.
Manakala PDRM dan agensi-agensi pusat yang berkaitan harus merangka pembinaan balai atau stesen yang mempunyai kemudahan yang mencukupi, yang seharusnya mengikut garis panduan serta keperluan kawasannya.
Oleh itu, PDRM dicadangkan melaksanakan Strategi Pengurusan Aset bagi mengaudit harta benda polis, termasuk bangunan serta tanahnya, memantau syarat pemilikan harta tersebut, di samping menyediakan penyelenggaraan yang kerap serta mencukupi keatas harta-harta itu.
Selain itu PDRM turut menggesa supaya dibanyakkan dan dibaiki lokap polis, di samping kapasitinya juga ditambah, bagi menanggani masalah kesesakan serta tindakan bolos dari lokap.
Amalan rasuah dalam pasukan polis
Pihak suruhanjaya mendedahkan wujudkan gejala rasuah di semua peringkat badan penguatkuasa undang-undang terbesar di negara ini dan banyak kes tidak dapat diambil tindakan kerana keengganan saksi memberi keterangan kerana takut tindabalasnya.
Katanya, selepas siasatan awam selama 15 bulan, maklumat balas yang diterima mendapati pemberi rasuah tampil mengadu kepada suruhanjaya itu tetapi tidak mahu membuat laporan polis kerana ia bimbang dikenakan tindakan terhadap kesalahan (memberi rasuah) yang mereka lakukan itu.
Manakala ada juga pengadu takut kerana jika membuat laporan polis, mereka mendedahkan diri kepada gangguan oleh pihak polis.
Antara mereka yang dikenalpasti lebih terdedah kepada amalan rasuah, ialah anggota polis trafik, pegawai penyiasat serta pegawai atasan mereka, detektif dan pegawai pendakwa.
Laporan itu juga menyebut beberapa dakwaan kes besar rasuah, termasuk seorang pegawai kanan polis mengisytiharkan harta bernilai RM34 juta dan pelbagai aduan mengenai anggota polis hidup di luar kemampuan mereka, seperti tinggal di rumah mewah.
Dua timbalan ketua polis
Ketika mencadangkan ditambahkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, pihak suruhanjaya berpendapat pengurusan di peringkat tertinggi boleh dibaiki lagi dengan adanya dua penyandang jawatan tersebut.
Dengan itu, seorang timbalan boleh memberi tumpuan kepada soal pengurusan dan kewangan, manakala seorang lagi menumpukan kepada aspek operasi.
Suruhanjaya turut mencadangkan rombakan carta organisasi PDRM termasuk penubuhan unit pembangunan agama untuk meningkatkan nilai-nilai, moral dan etika kerja anggota PDRM, terutama dari kalangan yang beragama Islam, yang merupakan majoriti rakyat negara ini.
Selain terbabit dalam aspek keagamaan serta kebajikan sosial kaum Muslim, suruhanjaya itu berpendapat harus ada badan pemantau yang mencukupi untuk menangkis ajaran sesat di kalangan anggota polis.
Suruhanjaya itu mencadangkan supaya unit tersebut diletakkan di bawah penyeliaan terus Ketua Polis Negara.

