Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beberapa kampung di Labuan dilanda banjir
Diterbitkan:  Nov 5, 2016 12:51 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Beberapa kampung di pulau bebas cukai Labuan dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak pukul 10 malam Jumaat.

Kampung terlibat ialah Kampung Rancha-Rancha Darat, Kg Gersik Baru, Kg Gersik Saguking, Kg Ganggarak, Kg Sg Keling dan Batu Manikar.

Turut terjejas Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan dan Taman Perumahan Mutiara.

Mohd Rasid Jaluddin, penduduk kampung Rancha-Rancha Darat, memberitahu Bernama beliau berada di Sabah apabila rumah dan keretanya terjejas oleh banjir.

“Nasib baiklah anak-anak saya tidak berada di rumah ketika banjir melanda rumah kami. Anak-anak saya tinggal di rumah nenek mereka. Saya berharap kami akan diberi bantuan," katanya.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, yang diiringi timbalan ketua pegawai eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan Mohd Zamri Mohd Esa, melawat kampung berkenaan untuk melihat sendiri keadaan serta menentukan bantuan yang perlu disalurkan kepada penduduk terjejas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin mengingatkan orang ramai, terutama yang tinggal di kawasan rendah, supaya mengambil langkah berjaga-jaga kerana kampung mereka juga berisiko dilanda banjir jika hujan
berterusan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS