Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysiakini dikawal wartawannya, bukan pelabur luar

Malaysiakini adalah di bawah kawalan penuh wartawan dan editornya, bukan pelabur atau orang luar, kata ketua pengarang kumpulan portal berita itu, Steven Gan.

"Ia adalah sama sekali mustahil orang luar atau pemegang saham Malaysiakini mempengaruhi editorial kami," kata Gan pada sidang akhbar selepas perhimpunan baju merah di luar pejabat portal berita itu di Petaling Jaya hari ini.

Gan berkata walaupun Dana Pelaburan Pembangunan Media (MDIF) memiliki 29 peratus daripada Malaysiakini, ia tidak mempunyai suara dalam dasar editorial laman web itu.

Beliau menjelaskan bahawa kedua-duanya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ketika memulakan modal pelaburan 10 tahun lalu, dan bersetuju MDIF tidak mempunyai suara dalam editorialnya.

Gan berkata demikian susulan pemimpin baju merah Datuk Seri Jamal Md Yunos yang berkata editorial Malaysiakini tidak bebas dan tunduk kepada kehendak hartawan perniagaan Amerika, George Soros.

Open Society Foundation (OSF) diasaskan Soros adalah salah satu daripada 50 pelabur dan pihak penaja MIDF, termasuk beberapa bank-bank Eropah.

Malaysiakini juga menerima dana daripada OSF untuk dua program berita KiniTV di Sarawak.

Gan berkata, pengaruh sebenar dalam dasar editorial Malaysiakini adalah wartawannya.

"Kami mempunyai mesyuarat harian, dan semua wartawan Malaysiakini dan editor menentukan laporan apa yang ingin dibuat dan susulan ke atasnya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemegang saham syarikat itu, Gan berkata, beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran adalah pemegang saham majoriti sebanyak 59 peratus.

Selain MDIF memiliki 29 peratus saham, 12 peratus dimiliki oleh kakitangan Malaysiakini. Sementara itu, beliau berkata hanya terdapat seorang ahli politik antara pemegang saham dalam Malaysiakini.

Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah dari PKR, mempunyai kepentingan yang sangat kecil selepas melabur RM5,000 dalam syarikat itu 17 tahun lalu ketika beliau adalah seorang peguam hak asasi manusia.

"Itu adalah 10 tahun sebelum beliau mengambil keputusan untuk bertanding Parlimen. Saham beliau adalah 0,001%. Ia benar-benar kecil," kata Gan.

Kira-kira 700 peserta baju merah hadir berhimpun bagi membantah Malaysiakini petang ini, yang berlangsung kira-kira dua setengah jam.

Bantahan itu didorong oleh dokumen bocor yang mendakwa bahawa Malaysiakini, BERSIH dan Merdeka Centre dibiayai oleh OSF.

Jamal pada mulanya mahu mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, tetapi berpindah lokasi ke pejabat Malaysiakini selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menafikan kebenaran untuk baju merah dan BERSIH berkumpul di Dataran Merdeka.

 

Lihat Komen
ADS