Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jamal, baju merah buang sampah depan pagar M'kini
Diterbitkan:  Nov 5, 2016 9:11 PM
Dikemaskini: 2:29 PM

Ketua bahagian Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dan pengikut-pengikutnya membuang beberapa beg sampah yang dikumpul daripada tempat perhimpunan mereka di hadapan Malaysiakini.

Pada mulanya, sampah ditinggalkan berselerak di sepanjang jalan menuju Business Park PJ51 selepas perhimpunan itu berakhir kira-kira jam 4 petang.

Sebahagian daripada anggota baju merah kemudian datang kembali selepas kira-kira dua jam membersihkannya.

Mereka kemudian meletakkan sampah yang telah dikumpulkan itu di depan pintu pagar Malaysiakini.

Jamal, bercakap kepada kakitangan Malaysiakini dari luar pagar berkata baju merah adalah 'orang yang bertanggungjawab'.

"Saya nak beritahu you all kami adalah orang yang bertanggungjawab. Sampah-sampah yang kami telah kutip. Sampahnya yang kami kutip telah letak di sini.

"Ini bukti kumpulan merah telah kutip sampah. Terima kasih," katanya, sebelum meninggalkan sampah berkenaan.

Ada polis berkawal semasa kejadian itu.

Awal hari ini, kira-kira 700 peserta baju merah membantah di luar pejabat Malaysiakini bagi mempersoalkan sumber dananya.

Terdapat sedikit ketegangan antara polis dan baju merah tetapi mereka akhirnya berundur dan bersurai.

Jamal mendakwa bantahan itu disertai 10,000 orang dan mereka tidak meruntuhkan bangunan Malaysiakini kerana tidak mencapai sasaran 20,000 peserta.

Pada sidang akhbar selepas itu, ketua pengarang kumpulan Malaysiakini Steven Gan menegaskan bahawa keputusan editorial portal berita itu ditentukan oleh wartawan dan editornya, bukan pelabur atau pihak luar.

Lihat Komen
ADS