Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu tidak ada kena mengena dengan bantahan oleh pergerakan baju merah semalam.

"Pemuda Umno kita tak terlibat dalam protes di Malaysiakini semalam," katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak bahawa beberapa anggota Pemuda Umno mungkin mengambil bahagian dalam demontrasi berkenaan atas kapasiti peribadi mereka.

"Kalau ada yang hadir sebagai kapasiti individual, saya tak tahu. Tetapi tiada arahan atau penyertaan dari segi Institusi Pemuda Umno," kata Khairy.

Anggota exco Pemuda Umno, Armand Azha Abu Hanifah dikesan hadir dalam protes di Malaysiakini semalam.

Kumpulan baju merah membantah pembiayaan terhadap beberapa organisasi di Malaysia oleh Open Society Foundation (OSF), yang diasaskan jutawan George Soros.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang memimpin kumpulan itu mendakwa Soros bertanggungjawab terhadap krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan membiayai beberapa revolusi di seluruh dunia.

Jamal mendakwa sasaran OSF seterusnya ialah Malaysia dan ia membiayai organisasi dengan niat untuk mengganggu proses pilihan raya.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia semalam memetik kenyataan Khairy yang menggesa pihak berkuasa mempercepatkan siasatan terhadap sumber pembiayaan organisasi berkenaan.

Semalam, kira-kira 700 anggota baju merah berhimpun di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya selama lebih dua jam.

Jamal pada mulanya mahu mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, tetapi berpindah ke pejabat portal berita itu selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melarangnya berhimpun di Dataran Merdeka.