Najib yakin KPN akan siasat pegawai polis miliki RM34 juta harta
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau terkejut mengenai laporan Suruhanjaya Diraja Polis bahawa terdapat pegawai kanan polis yang mengisytiharkan harta sebanyak RM34 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau terkejut mengenai laporan Suruhanjaya Diraja Polis bahawa terdapat pegawai kanan polis yang mengisytiharkan harta sebanyak RM34 juta.
Ketika ditanya mengenai perkara tersebut yang disebut dalam laporan suruhanjaya tersebut, beliau berkata, ia menghairankan dan perkara itu boleh diteliti lebih lanjut kerana tiada nama yang disebut.
Menurut laporan Bernama , Najib yakin Ketua Polis Negara akan mengambil tindakan sesuai bersabit perkara itu.
Perkara itu disebut dalam laporan Suruhanjaya Diraja itu yang bertemakan "Kepolisan Abad Ke-21" semalam. Laporan itu mengemukakan 125 syor bagi dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan kredibiliti dan integriti Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Najib, kerajaan akan meneliti secara terperinci sebelum melaksanakan syor yang dikemukakan suruhanjaya tersebut dalam laporannya yang dikeluarkan kepada umum semalam.
Menurutnya, tanggungjawab itu akan dilakukan oleh sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
"Pada peringkat sekarang, kami tidak mahu menyatakan mana yang boleh dan tidak boleh diterima oleh kerajaan.
"Kami hendak teliti satu persatu syor itu secara mendalam antara pelbagai agensi pusat yang terlibat termasuk Kementerian Kewangan, JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang Kementerian Pertahanan 2005 hari ini.
Peningkatan logistik disegerakan
Najib berkata, tindakan perlu diambil terhadap syor yang boleh dilaksanakan dengan segera, terutama dari segi peningkatan logistik seperti perumahan anggota polis, balai polis yang usang, kereta ronda dan alat komunikasi untuk menambah keberkesanan perkhidmatan polis.
"Ini untuk menaikkan moral anggota polis di samping menambah keyakinan orang ramai terhadap polis," katanya.
Dalam pada itu Najib yang juga Menteri Pertahanan mahukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dan kemampuan melaksanakan tugas bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara.
Perkara itu merupakan teras utama yang perlu didokong oleh anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara ATM, katanya.
"Umpamanya dalam sebuah kapal, mungkin meriamnya boleh berfungsi, torpedonya boleh berfungsi, tetapi kalau satu radarnya rosak, maka kapal itu bukan `mission-capable'.
"Inilah perkara yang perlu diingat oleh anggota di semua peringkat supaya dapat menentukan tahap kesiapsiagaan yang tinggi," katanya.
Najib berkata secara umum beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh ATM selama ini namun terdapat beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan.
Seramai 9,985 anggota ATM termasuk anggota awamnya di seluruh negara menerima anugerah khidmat cemerlang tahun ini.

