Roboh kompleks PKNS cadangan MB Sngor
Cadangan merobohkan kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam bagi membina Menara Berkembar Tiga sebenarnya kenyataan Menteri Besar Selangor sendiri, kata wakil rakyat Kajang.
Dr Shafie Abu Bakar berkata kenyataannya bukan "dakyah palsu" seperti didakwa Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hari ini.
Akhbar Berita Harian melaporkan Mohamad Khir berkata kenyataan Dr Shafie itu bertujuan "membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan."
Bagaimanapun wakil rakyat PAS itu mendakwa cadangan merobohkan bangunan PKNS yang menjadi pusat perniagaan Melayu itu dikeluarkan oleh Mohamad Khir seperti dilaporkan dalam akhbar The Sun pada 14 Mei lalu.
Akhbar berbahasa Inggeris itu memetik menteri besar itu sebagai berkata: "Bagi memberi laluan kepada pembangunan (menara berkembar) itu, kompleks PKNS di Seksyen 1 (Shah Alam) akan dimusnahkan."
Menurut akhbar itu lagi, kenyataan itu disampaikan kepada pemberita di kediaman rasminya di Shah Alam.
Mohamad Khir dilaporkan berkata tiga menara setinggi masing-masing 20, 18 dan 16 tingkat akan disambung dengan jambatan dan berfungsi sebagai mercu tanda negeri itu seumpama Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. Bangunan baru itu, yang dianggarkan RM100 juta, akan mula dibina tahun depan.
Ditanya sama ada perlu bangunan kompleks itu diruntuhkan, beliau dilaporkan berkata: "Bangunan itu telah lama dan kos penyenggaraannya terlalu tinggi." Kompleks PKNS dibina sejak 1980-an dan menjadi pusat tumpuan penduduk sekitar membeli-belah dan berurusan harian.
'Kenyataan palsu' di Internet
Shafie menafikan tuduhan Mohamad Khir dan mendakwa pemimpin Umno itu mengubah kenyataannya sendiri.
"Kita tidak bertujuan memutar belit kenyataan. Yang jelas menteri besarlah yang mengubah kenyataan (awalnya) itu setelah dikritik," kata Shafie kepada malaysiakini hari ini.
"Yang kita kritik adalah pembaziran apabila kompleks PKNS mahu dirobohkan untuk memberi ruang kepada bangunan Menara Berkembar Tiga."
Dr Shafie berkata pembaziran yang dimaksudkannya adalah meruntuhkan bangunan itu "yang relatifnya masih baru" walau berumur kurang dua dekad. Kritikan itu, menurutnya lagi, dikeluarkan 21 Mei lalu.
Beliau juga menafikan pernah mengkritik pembinaan menara berkembar tetapi mencadangkan projek itu dibangunkan di tapak lain.
Menteri besar itu berkata cadangannya telah diputarbelitkan oleh Dr Shafie melalui "kenyataan palsu" di Internet.
Mohamad Khir dilaporkan berkata sebagai wakil rakyat, Dr Shafie wajar ke pejabatnya untuk mendapatkan maklumat jelas mengenai perkara tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.