Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
JMM desak polis siasat Ezam kerana fitnah Najib

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini membuat satu laporan polis terhadap Mohamed Ezam Mohd Noor selaku pengerusi Hisbah Center for Reform.

Presidennya, Datuk Azwanddin Hamzah berkata laporan polis itu dibuat ekoran kenyataan yang dikeluarkan Ezam pada 6 November lalu yang didakwa memfitnah kerajaan.

"Di dalam kenyataan tersebut beliau telah membuat pelbagai tuduhan dan tohmahan yang berbentuk fitnah jenayah terhadap kerajaan," kata Azwanddin kepada pemberita.

Menurut Azwanddin lagi pihak polis perlu membuat siasatan terperinci berhubung kenyataan tersebut di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

Katanya, ini kerana aduan ini dibuat disebabkan imputasi yang bertujuan untuk mengancam reputasi Datuk Seri Najib Razak selain tugasan rasmi beliau selaku perdana menteri.

Ezam yang juga bekas pemimpin PKR pada Ahad lalu mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Najib sebagai korup.

Terdahulu Azwanddin difahamkan akan membuat laporan polis berhubung senarai syarikat yang didakwa mahu gulingkan kerajaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Azwanddin berkata laporan tersebut terpaksa ditunda kerana belum cukup bukti selain mendapati pihak polis tidak ada kuasa bagi membatalkan mana-mana syarikat yang bakal disenaraikan itu.

Namun, Azwanddin berkata pihaknya akan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) semula esok bagi tujuan yang sama.

"Banyak syarikat mengaku mereka NGO dan polis tidak boleh berbuat apa-apa," kata Azwanddin.

Lihat Komen
ADS