Kes polis jutawan: Kit Siang gesa PM keluarkan kertas putih
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini digesa supaya bertindak terhadap pegawai polis yang telah menjadi 'jutawan' sepertimana didedah oleh laporan Suruhanjaya Diraja Polis semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini digesa supaya bertindak terhadap pegawai polis yang telah menjadi 'jutawan' sepertimana didedah oleh laporan Suruhanjaya Diraja Polis semalam.
Ketika membuat gesaan tersebut, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang berkata, Abdullah mesti bertindak terhadap pegawai-pegawai polis yang hidup di luar kemampuan mereka dan mengumpul kekayaan yang tidak sepadan dengan sumber pendapatan mereka.
Bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen, Lim juga menggesa Perdana Menteri membentangkan kertas putih di Parlimen mengenai amalan rasuah di kalangan anggota polis seperti yang dinyatakan dalam laporan suruhanjaya itu.
Menurut laporan suruhanjaya tersebut, seorang pegawai kanan polis yang membuat perisytiharan harta sebanyak RM34 juta, dan siasatan Badan Pencegah Rasuah terhadap seorang pegawai kanan polis di Selangor yang mengutip wang perlindungan sebanyak RM200,000 sebulan.
Suruhanjaya itu turut melaporkan bahawa adalah bukan sesuatu yang asing bagi pegawai polis untuk merasuah pegawai yang lain bagi membolehkan dipindahkan ke bahagian "lombong emas" seperti Jabatan Jenayah Perdagangan, Bahagian Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Logistik.
Selain itu, suruhanjaya itu turut menerima beberapa aduan mengenai ramai pegawai polis yang hidup mewah melebihi pendapatan mereka.
Di samping itu, Lim juga menggesa Abdullah supaya mengadakan sidang khas Parlimen selama tiga hari bulan depan bagi membincangkan laporan suruhanjaya diraja itu.
Ujian untuk Pak Lah
Katanya, Parlimen akan berlaku tidak adil terhadap suruhanjaya itu sekiranya tidak membenarkan diadakan sidang khas itu bagi membolehkan ahli Parlimen membahaskan laporan itu. Persidangan Dewan Rakyat dijadual dari 20 Jun hingga 12 Julai.
Beliau mengingatkan Abdullah supaya mengotai janjinya untuk membanteras rasuah dengan mewujudkan satu mekanisme Parlilmen untuk mengawasi pelaksanaan perakuan suruhanjaya tersebut, termasuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis.
Katanya, dengan 48 daripada 125 perakuan itu akan dilaksanakan menjelang hujung tahun ini, tempoh enam bulan akan datang akan merupakan satu 'ujian' sama ada Abdullah benar-benar serius untuk membawa pembaharuan dalam pentadbirannya.
Abdullah, yang mengambil alih kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Oktober 2003, menang besar dalam pilihanraya umum tahun lalu, selepas berikrar untuk membersihkan kerajaannya daripada rasuah.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.