Lembaga Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak mempunyai kuasa untuk meminta Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohamed Zohadie Bardaie, meletak jawatan, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Zainul Ariff Hussain hari ini.

Beliau berkata, tidak ada peruntukan dalam perlembagaan lembaga itu yang membenarkannya meminta naib canselor berkenaan meletak jawatan dan lembaga itu juga tidak pernah berbuat demikian.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kuasa untuk melantik atau membatalkan pelantikan anggota lembaga itu dan naib canselor, terletak di tangan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Salleh.

"Kami dilantik oleh menteri itu, jadi kami tidak boleh meminta sesiapa jua meletak jawatan kerana kami tidak mempunyai kuasa itu," katanya.

Beliau memberitahu demikian semasa ditemui selepas perasmian kompleks kilang Bank Pembangunan & Infrastruktur Malaysia Bhd (BPIMB) oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamed Khaled Nordin di Shah Alam. Dr Zainul Ariff adalah pengerusi BPIMP.

Minggu lalu, beberapa akhbar melaporkan lembaga UPM menuntut agar Dr Zohadie melepaskan jawatannya sebagai naib canselor berikutan satu kontroversi.

Buat penafian

Laporan itu menyebut bahawa dalam mesyuaratnya pada 4 Mei, lembaga UPM menuntut Dr Zohadie melepaskan jawatan kerana beliau telah merosakkan hubungan antara UPM dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Ini berikutan memorandum yang dihantarnya kepada kementerian itu bagi membantah pemindahan program kejuruteraan aeroangkasa dari UPM ke Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr Zainul Ariff bagaimanapun membuat penafian selepas mesyuarat lembaga itu Ahad lalu dan melahirkan kekecewaannya berhubung laporan yang tidak tepat itu.

Dr Zainul Arif juga berkata beliau mempunyai hubungan baik dan mesra dengan Dr Zohadie.

"Kami sama-sama menghadiri beberapa majlis. Tidak ada masalah antara kami," katanya.