Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Media perlu bebas dari parti politik, kata bekas editor Utusan

Bekas editor kanan akhbar Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain berkata sudah tiba masanya organisasi media di negara ini bebas daripada kawalan parti politik.

"Organisasi media di negara ini perlu bebas daripada dikawal berbanding keadaan sekarang yang terlalu mengongkong.

"Ini bagi mengangkat maruah dan martabat media agar lebih bebas dari dikawal secara terang-terang," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia yang meminta Umno selaku pemegang saham terbesar Kumpulan Utusan melepaskan pegangan mereka dalam syarikat akhbar Melayu tertua di negara itu.

"Saya sokong gesaan NUJ dan dah sampai masanya untuk parti politik tidak menjadi pemodal kepada organisasi media," kata Ku Seman kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Ku Seman berkata tindakan tidak mencampuri pengurusan dalam sesebuah organisasi media mampu mengangkat maruah dan martabat media agar lebih bebas.

Beliau mengambil contoh di negara luar di mana parti- parti politik tidak menguasai pegangan saham dalam sesebuah organisasi media.

"Kalau kita tengok di negara lain pun tidak ada parti politik yang menguasai saham dalam organisasi media, tapi mungkin mereka cuma mempengaruhi pengarangnya sahaja," tambah Ku Seman.

Majlis Tertinggi NUJ dalam kenyatannya berkata, tindakan Umno melepaskan penguasaan saham sekitar 50 peratus yang dimilikinya membolehkan pengambil alihan saham oleh pihak lain.

NUJ berkata dengan cara itu ia dapat membuka seluas-luasnya kepada usaha memulihkan kedudukan kewangan syarikat yang kini berdepan masalah dengan penstrukturan semula.

Ini kerana Utusan terus mencatat kerugian sejak 2009, selain pembayaran lewat gaji kakitangannya, kejatuhan edaran akhbar dan pendapatan iklan berkurangan, di samping terpaksa membayar ganti rugi akibat kalah dalam saman di mahkamah.

"Paling menyedihkan apabila syarikat terpaksa menggunakan wang potongan pinjaman peribadi kakitangan kepada pihak bank untuk meneruskan operasi syarikat buat masa ini," kata NUJ.

'Anggota Umno malas membaca'

Sementara itu, bekas penyunting Utusan Malaysia Pyanhabib berkata kegagalan akhbar Melayu tertua itu juga turut disumbangkan oleh kepimpinan parti politik itu sendiri.

Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman berkata Utusan Malaysia tidak akan mengalami masalah sedemikian sekiranya Umno mengerahkan anggota parti politik itu membaca serta melanggan akhbar mereka.

"Anggota Umno khabarnya 3.4 juta orang. Kalau saya Sivaji The Boss, saya putar jari telunjuk saya, saya kerah 3 juta anggota Umno pakat pergi kedai mamak, beli dan baca akhbar penyambung lidah Melayu - kini jahanam diperguna tuan Melayu - ini setiap hari," katanya.

Pyanhabib yang pernah mengenali tokoh Utusan Melayu seperti Ishak Haji Mohammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako berkata, ini kerana 'anggota Umno malas membaca'.

"Kalau tidak 3 juta, 400,000 (anggota Umno) pun cukup (untuk beli dan baca Utusan Malaysia).

"Ini tidak, sejak zaman saya dan Almarhum Pak Sako turun naik bas Tong Fong dari Puduraya ke Chan Sow Lin, bergayut dalam bas mini, berulang-alik redah debu Jalan Lima, anggota Umno terkenal pemalas baca surat khabar, kalau terpaksa membaca pun kerana dapat percuma.

"Ilmu hisap mudah. Kalau anggota Umno bukan dari kalangan orang-orang yang pemalas membaca, berita-beritanya tidak telus dan penyelewengan, nasib kawan-kawan saya tidaklah ceritanya diberi liputan dan ihsan Malaysiakini," tambah Pyanhabib merujuk kepada kaki tangan akhbar itu yang didakwa lewat menerima gaji.

 

 

 

Lihat Komen
ADS