Bursa saham, harga minyak, ringgit merudum 'sambut' Trump
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan bursa serantau susut dalam reaksi spontan terhadap keputusan mengejutkan apabila calon Repulikan Donald Trump menang jawatan presiden Amerika Syarikat.
Indeks penanda aras mencatatkan 1,642.34, susut 21.48 mata atau 1.29 peratus selepas dibuka 0.30 mata lebih tinggi pada 1,664.12.
Pada 3.03 petang, antara saham paling rugi di bursa tempatan, Dutch Lady turun 62 sen kepada RM58.08, British American Tobacco susut 60 sen kepada RM47.76, AEON Credit Service turun 40 sen kepada RM13.92 dan KESM Industries susut 37 sen kepada RM8.58.
Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 914 berbanding 76 manakala 191 kaunter tidak berubah, 491 tidak diniagakan dan 24 lagi digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.69 bilion saham bernilai RM1.28 bilion.
Di peringkat serantau, Hang Seng Hong Kong turun 2.87 peratus kepada 22,252.41, Straits Times Index Singapura merosot 1.93 peratus kepada 2,765.89, Jakarta Composite Index susut 2.12 peratus kepada 5,354.82 manakala Shanghai Composite Index China merosot 0.64 peratus kepada 3,127.74.
SET Composite Index Bangkok turun 1.32 peratus kepada 1,489.90 dan PSE Composite Index Filipina susut 2.91 peratus kepada 7,095.46.
Naib Presiden FXTM Market Research Jameel Ahmad berkata minat ke atas aset selamat, emas, meningkat ekoran ketidaktentuan pelabur.
Pada tengah ahri harga emas dunia mencatatkan US$42.24 segram.
Sementara itu, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila pasaran minyak mencatatkan penurunan susulan kemenangan mengejut Trump hari ini, kata seorang peniaga.
Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.2240/2300 berbanding dolar AS daripada 4.2000/2050 pada Selasa.
Peniaga itu berkata penurunan ringgit juga sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang negara sedang pesat membangun Asia.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata ringgit tidak dijangka terus jatuh lagi dalam tempoh terdekat ini.
"Minyak jatuh ke paras terendah yang saya fikir ia boleh pergi pada US$44 setong hari ini, dan saya tidak rasa ia boleh turun banyak lagi. Paling banyak pun US$40, tetapi saya tidak menjangkakan ia akan jatuh ke bawah US$40 sekali lagi," katanya kepada Bernama.
Minyak mentah penanda aras antarabangsa Brent jatuh 47 cents kepada US$45.57 setong.
Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding pound British kepada 5.2340/2427 daripada 5.2177/2260 pada Selasa dan turun berbanding euro kepada 4.6679/6754 daripada 4.6402/6465.
Ringgit berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.0345/0392 daripada 3.0225/0267 pada Selasa dan susut berbanding yen kepada 4.0808/0877 daripada 4.0188/0239.
- Bernama

