Sebahagian besar anggota parlimen terkejut dengan kemenangan Donald Trump pada pilihanraya presiden Amerika Syarikat (AS) hari ini yang mengalahkan calon pilihan dari Democrat, Hilary Clinton.

Tan Sri Shahrir Samad berkata walaupun keputusan ini mengejutkan namun ia tidak akan memberi banyak kesan berkaitan ekonomi dan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang disertai Malaysia.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu berkata beliau masih belum boleh membuat penilaian sikap Trump dalam mentadbir AS kerana situasi dalam kempen tidak sama apabila beliau memegang jawatan khasnya melibatkan ekonomi.

"Saya tidak nampak banyak kesan akan berlaku, kami mempunyai hubungan pelaburan yang lebih baik dengan negara-negara Asia, malah dagangan kita dengan AS hanya sekitar 15 peratus.

"Soalnya sesiapa sahaja menjadi presiden sukar untuk mengetepikan pandangan kepentingan perniagaan serta ekonomi.

“Kita kena bezakan apa yang menjadi retorik semasa bertanding berbanding apa yang akan dilakukan semasa memegang jawatan," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Shahrir berkata demikian ketika ditanya mengenai nasib Malaysia dan perjanjian TTPA memandangkan Trump dalam kempennya tidak bersetuju dengan perjanjian tersebut.

Anti Islam

Bagi Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, kemenangan Trump satu keputusan yang tidak dijangka, sekaligus meletakkan perjanjian TTPA dalam keadaan membimbangkan.

Katanya, kerajaan perlu melihat perkembangan TPPA supaya semua usaha dibelanjakan untuk perjanjian itu tidak menjadi sia-sia.

"Soalan pertama kami adalah sama ada TPPA akan tetap diteruskan atau sebaliknya, memandangkan Trump komited untuk menghapuskan TPPA, ini adalah kebimbangan kita.

“Jika tidak ada pemantauan daripada kerajaan perjanjian ini akan menjadi sia-sia," katanya.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula berkata, beliau terkejut dengan kemenangan Trump.

"Kita amat bimbang dengan perkembangan yang sedang berlaku di AS. Saya amat bimbang bahawa salah satu demokrasi yang tertua di dunia hari ini boleh membawa kepada pemilihan Trump sebagai presiden.

“Kita juga bimbang dengan nasib umat Islam di sana memandangkan beliau semasa kempennya seorang yang anti Islam," katanya.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam berkata, terlalu awal untuk menilai sejauh mana pentadbiran Trump akan menjejaskan hubungan dua hala dengan Malaysia.

"Kita harap Trump sebagai presiden baru akan memainkan peranan sebagai pendamai di dunia, bermakna meneruskan perjuangan mereka untuk membantu negara-negara lain di dunia," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula, pemilihan Trump menunjukkan perjalanan ekonomi yang sedikit kabur.

"Ketika ini, Yen (matawang Jepun), Pesos (matawang Mexico) dan pasaran inflasi semua semakin berkurangan dan jatuh. Ia menunjukkan kurangnya keyakinan dan hilang sokongan kepada Trump.

"Oleh itu dasar-dasar beliau benar-benar teruji," katanya.

Trump memenangi pilihan raya presiden AS dengan memperolehi 276 undi menewaskan pencabarnya, Hilary Clinton daripada parti Demokrat yang meraih 218 undi.