JPJ S'gor tahan 42 pemandu lori warga asing tanpa lesen
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 42 pemandu lori warga asing yang tidak mempunyai lesen dan membawa lebih muatan dalam operasi bersepadu sebulan bermula 4 Oktober lepas di seluruh Selangor.
Dalam operasi itu, notis tindakan juga dikeluarkan kepada pemilik 4,304 kenderaan berat atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan kesalahan lalu lintas, tidak menutup muatan dan meninggalkan kenderaan tanpa mematikan enjin.
Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata warga asing dari Indonesia, India dan Pakistan itu memandu lori jenis Articulated General Cargo, Tipper Dumper dan D/Control yang membawa muatan pasir dan batu.
"Operasi ini memberi tumpuan terhadap kenderaan berat untuk memastikan kenderaan itu membawa muatan mengikut had yang dibenarkan dan tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya kepada pemberita di Shah Alam semalam.
Pemandu kenderaan berat yang melanggar peraturan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 63 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman kompaun maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, katanya.
Nazli berkata 6,462 notis yang dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berat itu merangkumi arah periksa, larangan penggunaan kenderaan dan saman.
"Kami akan meneruskan operasi ini bagi mengesan kenderaan berat yang membawa lebih muatan sekaligus mengekang kegiatan tonto yang menjadi salah satu punca wujudnya gangguan terhadap anggota JPJ," katanya.
- Bernama

