Aktivis politik Hishamuddin Rais dan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah hari ini dipanggil polis di ibu pejabat polis Petaling Jaya.

Mereka tiba kira-kira jam 9.30 pagi untuk memberi keterangan berhubung satu ceramah di Parit Bakar, Muar, Johor pada 5 November lalu.

Hishamuddin berkata mereka disoal siasat selama hampir satu jam oleh pegawai polis berpangkat ASP dari Johor.

Hishamuddin berkata difahamkan terdapat tujuh lagi individu akan dipanggil, termasuk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut menghadiri ceramah berkenaan.

Sementara itu, Maria ketika dihubungi Malaysiakini menegaskan pihak penganjur telah memberi notis kepada polis untuk mengadakan ceramah itu.
 

"Itu adalah hak kita untuk mengadakan ceramah dan kita telah beri notis kepada polis," katanya.

Ketika ditanya, kedua-dua mereka tidak jelas disiasat bawah undang-undang apa.

Kedua-dua mereka hadir tanpa ditemani peguam.