Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Annuar Musa akan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang baru.

Beliau akan menggantikan Tan Sri Hussein Ahmad yang telah tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Januari lalu setelah berkhidmat selama 14 tahun, mulai 2 Februari 1991.

Menurut laporan Bernama, Annuar dijangka menerima surat rasmi mengenai perkara itu sehari dua lagi.

Annuar ketika ditemui di Kota Bharu hari ini berkata beliau diberitahu mengenai pelantikan itu seminggu yang lalu.

Kada yang ditubuhkan pada 1972 bertujuan memaju dan membangunkan bidang pertanian di kawasan seluas 80,000 hektar yang meliputi Kota Baharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat.

Sementara itu, Annuar berkata, Badan Perhubungan Umno Kelantan hari ini memperkenalkan sistem perakam waktu di ibu pejabatnya dalam usaha meningkatkan keberkesanan kerja. Sebanyak 17 kakitangan tetap bertugas di ibu pejabat Umno negeri.

'Kelantan Dapur Negara'

"Pengurusan kerja akan menjadi lebih teratur bagi melaksanakan pelbagai rancangan untuk membangunkan Kelantan," katanya kepada pemberita selepas mengetik kad perakam waktu sebelum mengadakan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri.

Annuar juga berkata Majlis Kemajuan Kelantan dengan kerjasama TV3 akan menganjurkan Karnival Perkampungan Hadhari yang akan diadakan di Kompleks Sekolah-sekolah di Wakaf Mek Zainab dekat sini selama dua hari mulai 14 Julai.

Karnival yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu akan menggabungkan pelbagai konsep berteraskan 10 teras dalam Islam Hadhari.

Antara lain, katanya, karnival itu juga akan menyediakan satu sudut yang mempamerkan 59 resolusi yang dicapai dalam Konvensyen Kemajuan Kelantan bulan lalu bagi menjelaskan kepada orang ramai mengenai usaha untuk memajukan Kelantan menjelang 2015.

Selain mempamerkan kegiatan Umno serta artifak dan replika mengenai kegemilangan Islam, karnival itu juga akan diisi dengan segmen "Kelantan Dapur Negara" yang akan mempromosikan produk makanan rakyat negeri ini selain industri kraftangannya.