PM: Keindukan berteras Melayu prinsip penting penyatuan bangsa
Keindukan yang berteraskan Melayu dan bumiputera menjadi prinsip penting kepada penyatuan bangsa di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata ini kerana kedua-dua asas itu iaitu Melayu dan bumiputera merupakan perkara utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Najib menarik perhatian bahawa jika dilihat kepada perlembagaan, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi tetapi bahasa lain dibenar dituturkan secara bebas di Malaysia.
"Islam juga adalah agama rasmi tetapi agama lain dibenar diamalkan dengan bebas dan ketua negara kita ialah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih dalam kalangan sembilan Raja Melayu.
"Kalau terima prinsip ini, maka mudah kita ke hadapan... bila nak majukan negara mesti majukan semua kaum tetapi jangan biarkan Melayu dan bumiputera ketinggalan," katanya ketika menutup Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Prof Datuk Hassan Said.
Najib merupakan penaung kepada konvensyen selama tiga hari itu.
Konvensyen bertema 'Menyingkap Perjuangan Bangsa' itu anjuran bersama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media serta Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM.
Dalam pada itu, Najib berkata dalam merencanakan visi Transformasi Nasional 2050 (TN50), kepentingan semua kaum akan diambil kira namun keindukannya harus Melayu dan bumiputera.
Beliau merujuk kepada laporan Khazanah Nasional yang antara kajiannya menunjukkan faktor mobiliti sosial paling berkesan ialah melalui akses kepada pendidikan yang mampu menjadikan kedudukan semua kaum jauh lebih baik.
"Menurut laporan itu juga kalau ibu bapa dalam kumpulan bawah 40 (B40) tidak semestinya anak kekal dalam B40.
"Apa yang membanggakan dalam kajian itu kita lihat peratusan Melayu dan bumiputera yang dapat keluar daripada B40 dalam masa satu generasi kerana dasar kerajaan adalah sangat baik berbanding negara lain," kata Najib.
Perdana menteri menegaskan untuk mencapai visi dan agenda TN50, rakyat perlu mempunyai daya kesungguhan untuk berjaya dan membantu melahirkan lebih ramai pemain global pada masa hadapan.
"Saya baru balik dari (lawatan ke) China dan melihat kepada 1.3 bilion rakyat negara itu, kalau nak berjaya anda perlu dahagakan kejayaan... kita mesti ada daya kesungguhan untuk berjaya.
"Tapi kalau kita rasa terlalu selesa dengan kedudukan, jika tiada kesungguhan 1.3 bilion manusia lain di negara China akan ambil peluang itu.
"Mindset ini (dahagakan kejayaan) yang kita nak bangunkan... sikap kita penting untuk bawa kita ke hadapan sebagai satu bangsa," tegas Najib.
Di majlis itu, Hassan turut menyerahkan kepada perdana menteri enam resolusi yang telah dikenal pasti dan diluluskan di konvensyen berkenaan.
Ia merangkumi, antara lain, kepentingan mengangkat agenda penyatuan bangsa Melayu sebagai agenda tetap nasional bagi menjamin kemakmuran semua bangsa dan menggesa komuniti ekonomi Bumiputera mengubah pemikiran, sikap serta menerap budaya keusahawanan dan menjadi peneraju agenda ekonomi negara.
- Bernama

