Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menggesa pemimpin negeri BN supaya menyemak dengan sekutunya dalam UDA Holdings dan Putrajaya berhubung rancangan pembangunan semula Pulau Jerejak.

Ini selepas Pengerusi BN negeri Datuk Teng Chang Yeow menyoal mengenai kepentingan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dalam syarikat Tropical Island Resort (TIR), yang bertanggungjawab membangunkan semula Pulau Jerejak.

"Jangan berpura-pura tidak tahu, ini adalah projek BN dan kamu (Teng) sebahagian daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan tengah hari sambutan Deepavali di Georgetown, hari ini.

"Mengapa serang kami? Kenapa tidak serang UDA Holdings?" soal Lim yang juga adalah setiausaha agung DAP.

TIR adalah usaha sama 51:49 antara UDA Holdings dan PDC.

Teng ingin tahu jika PDC akan menjual 49 peratus pegangannya, berikutan pengumuman TIR bahawa ia telah memeterai perjanjian dengan pemaju swasta Ideal Property.

Lim hari ini berkata kerajaan negeri tidak membincangkan perjanjian dengan Ideal Property tetapi dengan UDA Holdings yang mempunyai kepentingan kerajaan persekutuan.

Katanya, Pengerusi UDA Holdings Datuk Johari Abdul Ghani berjumpa dengannya baru-baru ini mengenai perjanjian itu. Menurutnya, Ideal Property adalah "sekutu" UDA Holdings.

"Jika kamu (Teng) tidak berpuas hati dengan projek itu, tanya kerajaan persekutuan.

"Jangan beritahu saya UDA Holdings bukan sebahagian daripada kerajaan kamu," katanya dalam nada sinis.

[Baca berita penuh]