Pemikiran, sikap dan budaya orang Melayu yang kadangkala tidak kompetitif, tidak berdaya saing dan suka meminta-minta harus diubah bagi memastikan kelangsungan bangsa Melayu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bangsa Melayu harus diselamatkan daripada sikap demikian bagi memastikan mereka terus maju.

"Kerana bagi Umno Johor, Melayu mesti diasuh berdikari. Dibanteras pemikiran dan sikap terlalu bergantung pada hak dan bantuan. Sikap anti-persaingan dan anti-kemajuan mesti berakhir," katanya ketika berucap di majlis perasmian Konvensyen Umno Johor di Johor Bahru malam tadi.

Beliau berkata yang perlu berubah adalah pemikiran, sikap dan budaya Melayu itu dan bukannya parti yang menjadi wadah orang Melayu berjuang.

Katanya berkata sikap orang Melayu yang masih dengan sikap meminta-minta, sikap kebergantungan dan pemikiran bahawa dalam keadaan apa pun, Umno itu ada dan parti itu terus berkewajipan membantu kerana ia didokongi orang Melayu.

Mohamed Khaled, yang juga menteri besar, berkata pemikiran terkebelakang sebegini adalah satu masalah besar yang menyebabkan orang Melayu mundur dan menyukarkan Umno menjadi lebih progresif.

Sungguhpun begitu, katanya, parti Umno sebagai sebahagian kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih akan terus mempertahankan dan memperkenalkan pelbagai tindakan afirmatif bagi memberikan orang Melayu permulaan yang adil dan perlu.

Selain itu, beliau secara sinis menegur sikap segelintir ahli Umno yang menyalahkan parti seolah-olah parti keramat itu tidak pernah berbakti apabila pengaruh parti dilihat semakin susut.

"Benar, Umno tidak lari dari silap. Benar Umno itu jauh dari sempurna.

"Tapi untuk menghukum Umno itu gagal mengambil langkah dan tanggungjawab pada bangsa Melayu, adalah pandangan yang sangat tersasar dan tidak adil," katanya.

Konvensyen dua hari itu dirasmi oleh Naib Presiden Umno merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

- Bernama