Terjemahan Ahli Parlimen dari lima negara anggota Asean akan berkumpul di Singapura pada 2 Jun ini untuk meningkatkan lagi tekanan terhadap Burma supaya melepaskan gilirannya menjadi pengerusi Asean tahun depan, kecuali ia melaksanakan pembaharuan politik di negara itu.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang memberitahu AFP, Kaukus Antara Parlimen Asean mengenai Burma akan bertemu di Singapura sempena pelancaran cawangan kaukus itu di republik itu.

Ahli Parlimen terbabit, katanya, akan menggesa Asean mengambil pendirian keras terhadap Burma, termasuk menuntut pembebasan pemimpin pembangkang dan pemimpin gerakan demokrasinya, Aung San Suu Kyi, apabila para menteri luar pertubuhan itu bermesyuarat di Laos Julai ini.

"Kami mendesak supaya Aung San Suu Kyi dibebaskan segera dan amalan demokrasi dilaksanakan di negara itu," katanya.

Pememang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyia diletakkan di bawah tahanan di rumah, dan pemerintah junta tentera Burma pula sehingga ini tidak memperdulikan langsung gesaan masyarakat antarabangsa supaya beliau dibebaskan.

Satu helah

Lim juga mengingatkan bahawa kenyataan Burma baru-baru ini yang ia mungkin melepaskan gilirannya menjadi pengerusi Asean tahun depan, mungkin merupakan satu 'helah' untuk 'membeli masa' dan mengekang tekanan yang semakin memuncak di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menurutnya, rekod hak asasi manusia Burma yang begitu teruk serta keengkarannya untuk mengotai janjinya apabila menyertai Asean pada 1997 untuk melaksanakan demokrasi dan menyelesaikan masalah politik di negara itu, merupakan isu-isu yang belum selesai.

Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat telah memberi amaran akan memboikot Asean jika Burma dibenarkan menjadi pengerusi pertubuhan 10 anggota itu.

- AFP