Persidangan Dewan Negara akhirnya meluluskan Rang Undang-Undang Pelaburan Kerajaan (Pindaan) 2005 yang sebelum ini menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli dewan mengenai kedudukannya bagi menarik pelaburan secara sistem kewangan konvesional, terutama dari luar negara.

Ketika perbahasan semalam, beberapa ahli dewan menyuarakan kebimbangan yang rang undang-undang tersebut akan mengekang kerajaan daripada menerima pelaburan secara sistem kewangan konvensional, memandangkan ianya tertumpu kepada aspek perbankan Islam sahaja.

Menurut laporan Bernama , berikutan itu, wakil Kementerian Kewangan dan Bank Negara terpaksa memberi penjelasan kepada ahli-ahli dewan sebelum persidangan dimulakan pagi ini, bagi menyelesaikan kekeliruan tersebut.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, ketika menggulung perbahasan berkata, pada awalnya beliau bimbang rang undang-undang tersebut akan menerima nasib yang sama seperti Rang Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Penerbangan 2005 yang terpaksa ditarik balik oleh Kementerian Pengangkutan Isnin lalu.

Perkara ini timbul berikutan tindakan beberapa ahli Dewan Negara yang membangkitkan isu bahawa rang undang-undang berkenaan ada kelemahan semasa membahasnya semalam, katanya.

Hilmi berkata rang undang-undang itu sememangnya digubal untuk mengendalikan pelaburan di bawah prinsip Syariah, manakala pelaburan konvensional sudahpun mempunyai aktanya sendiri iaitu Ordinan Pinjaman Tempatan 1956 dan Treasury Bills Local Act 1946.

Bagi pelaburan Syariah

Beliau bersetuju dengan cadangan ahli dewan supaya sebelum membentangkan rang undang-undang di Dewan Negara, kementerian berkenaan perlu mengadakan taklimat kepada ahli dewan supaya mereka mendapat penjelasan terperinci mengenai sesuatu pindaan itu.

Katanya, rang undang-undang itu bertujuan untuk membolehkan kerajaan mengadakan bon-bon Islam jangka pendek yang kurang daripada satu tahun yang kini merupakan bon-bon yang diminati ramai, terutama oleh pelabur dari luar negara.

"Pada masa ini, rang undang-undang sedia ada hanya untuk bon-bon jangka panjang dan sederahana," katanya.

Dalam rang undang-undang itu, telah dimasukkan peruntukan bahawa kerajaan diberi kuasa untuk menerbitkan surat cara Islam di bawah pelbagai prinsip Syariah, dan bagi tempoh yang berlainan, yang meliputi jangka pendek, pertengahan atau panjang.

Hilmi berkata, dengan adanya sistem pelaburan secara Islam, ianya akan menarik lebih banyak pelaburan dari semua pihak, termasuk pelabur dari negara Islam.

"Ini boleh dibandingkan dengan restoran halal dan tidak halal, restoran halal boleh dikunjungi oleh semua orang termasuk orang Islam, tetapi bagi restoran tidak halal, ia hanya menarik sebahagian sahaja dari pengguna," katanya.