Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengesahkan mereka tidak menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) di Shah Alam esok.

Keputusan itu menjadikan WARISAN sebuah lagi parti pembangkang yang mengambil langkah sama selepas PAS.

Timbalan Presiden WARISAN Darell Leiking berkata parti itu tidak dapat menyertai konvensyen berkenaan kerana dua pemimpin tertinggi parti berkenaan terpaksa menghadiri siri jelajah di Kudat dan Maruju.

"Kami dijemput tetapi malangnya Datuk Seri Shafie Apdal dan saya akan menghadiri majlis jelajah di Kudat dan Marudu yang sudah dirancang lebih awal," katanya melalui mesej pesanan ringkas.

Shafie - juga bekas naib presiden Umno - adalah presiden WARISAN.

Sementara itu semakan di akaun Facebook WARISAN menyatakan parti itu mempelawa orang ramai menghadiri Festival Gong yang akan dihadiri Shafie.

Semua pemimpin parti itu serta wakil rakyat masing-masing pula digerakkan untuk melawat pelbagai lokasi di Sabah.

Sementara itu Ketua Setiausaha Sekretariat HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah berkata gabungan pembangkang itu sudah dimaklumkan mengenai kedudukan WARISAN.

"HARAPAN mempelawa semua parti pembangkang. Saya sudah bercakap dengan Shafie dan Darrel. Mereka mengucapkan terima kasih atas jemputan itu namun tidak dapat hadir," katanya.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan sebelum ini menyatakan parti itu tidak menyertai konvensyen berkenaan atas sebab ia turut membabitkan DAP.

Bekas perdana menteri dan Pengerus Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad serta presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengesahkan kehadiran mereka.

Menurut kenyataan dihantar Saifuddin, Dr Mahathir akan memberikan syarahan khas di majlis berkenaan, manakala Muhyiddin akan memberikan ucapan bersama pimpinan pembangkang lain.

[Baca berita asal]