Kerajaan menolak dakwaan bahawa pengacara Ruang Bicara, Bernama News Channel (BNC) atau dahulunya dikenali sebagai Bernama TV, Datuk Dahlan Maamor telah ditukarkan kerana penerbitnya mendapat arahan daripada pemanggil yang tidak dinamakan.
"Tidak ada wanita atau suara yang campur tangan dalam hal ehwal Bernama News Channel.
"Ini adalah keputusan syarikat; mereka tidak ikut arahan luar," kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (BN-Hulu Terengganu) memberitahu sidang Dewan Rakyat, malam tadi.
Beliau mengulas Anthony Loke (DAP-Seremban) yang menyoal mengapa kementerian membenarkan dakwaan campur tangan itu dalam Bernama.
Dahlan dalam posting Facebook, Rabu lalu mendakwa penerbit rancangan yang beliau sepatutnya menjadi hos mendapat panggilan telefon kira-kira 20 minit menjelang siaran langsung berkenaan mengarahkan supaya dirinya digugurkan.
Dakwanya, pemanggil yang tidak dinamakan itu ‘memetik’ nama isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga adalah penaung program Permata Negara (PERMATA) yang menjadi topik perbincangan hari itu.
Seorang pegawai kanan Bernama News Channel yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat namanya tidak disiarkan, mengesahkan dakwaan Dahlan itu tetapi enggan mendedahkan identiti pemanggil wanita tersebut.
Dahlan sebelum ini mendakwa digantung kerja selepas menerima protes hebat daripada media Umno selepas beliau menulis di Facebok mengenai pandangan peguam Adnan Seman yang memohon perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berfikir secara serius untuk berundur.
Agensi berita negara itu bagiamanapun menarik balik penggantungannya selepas seminggu.
