Kes Rajasegaran: Mahkamah Persekutuan benarkan Amesu kemuka rayuan
Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini memberi kebenaran kepada Kesatuan Sekerja Pekerja Ladang SeMalaysia (Amesu) untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa N. Rajasegaran layak menjadi Pengerusi Mahkamah Perusahaan.
Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini memberi kebenaran kepada Kesatuan Sekerja Pekerja Ladang SeMalaysia (Amesu) untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa N. Rajasegaran layak menjadi Pengerusi Mahkamah Perusahaan.
Hakim Besar Malaya Datuk Siti Norma Yaakob yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Steve Shim Lip Kiong dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Hamid Mohamed, membuat perintah itu.
Selepas memberi kebenaran bagi rayuan itu, Mahkamah Persekutuan akan menentukan persoalan undang-undang mengikut Akta Profesion Guaman 1976 sama ada peguambela dan peguamcara yang telah tidak berkhidmat dalam bidang itu selama tujuh tahun, layak dilantik sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan mengikut Seksyen 23A Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Menurut laporan Bernama, Mahkamah Rayuan pada 24 Mac lalu membenarkan rayuan Rajasegaran dan menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan pelantikan beliau adalah batal dan tidak sah.
Pada 2 November tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Afrah Wan Ibrahim, ketika itu pesuruhjaya kehakiman, membenarkan permohonan Amesu bagi diisytiharkan bahawa pelantikan Rajasegaran oleh Menteri Sumber Manusia pada 15 Januari 2004 adalah batal dan tidak sah.
Dilarang jalan tugas
Keputusan itu dibuat selepas hampir setahun pertikaian perundangan antara Amesu dan Rajasegaran, bekas pengarah sumber manusia Taiko Plantation Group.
Bagaimanapun, pada 23 Disember, Wan Afrah membenarkan permohonan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi penangguhan perintah itu dengan syarat Rajasegaran dilarang daripada menjalankan tugas dan fungsi sebagai pengerusi Mahkamah Perindustrian sehingga rayuan itu selesai.
Amesu yang mencabar pelantikan itu mendakwa Rajasegaran telah tidak berkhidmat sebagai peguam selama tujuh tahun seperti ketetapan Seksyen 23A Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Ia menamakan Rajasegaran, SPA dan kerajaan sebagai responden. Amesu diwakili peguam Sri Dev Nair manakala Umi Kalthum Abdul Majid dan Azizah Nawawi mewakili para responden.

