Star kaji terbit akhbar bahasa Melayu
Star Publications (Malaysia) Bhd masih mengkaji kemungkinan menerbitkan akhbar berBahasa Melayunya sendiri, kata pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif Datuk Steven Tan Kok Hiang.
Star Publications (Malaysia) Bhd masih mengkaji kemungkinan menerbitkan akhbar berBahasa Melayunya sendiri, kata pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif Datuk Steven Tan Kok Hiang.
"Syarikat masih mengkaji prospeknya. Tiada satu tempoh masa ditetapkan kerana ia memerlukan kajian lanjut dan komitment untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu hari ini.
Menurut laporan Bernama, Tan berkata, akhbar baru itu kemungkinan diterbitkan dalam bentuk cetakan atau versi online, bergantung kepada keadaan bekalan dan permintaan.
Mengenai unit radio kumpulan itu, beliau berkata, berasaskan prestrasi semasa dan masa depan yang cerah dalam industri itu, syarikat itu kini sedang mengkaji untuk membuat lebih banyak pengambilalihan di masa hadapan.
"Stesen radio kami, Radio Rediffusion Sdn Bhd, kini mulai mencatatkan keuntungan. Sehubungan itu, kami telah mengenal pasti radio sebagai salah satu bidang untuk dikembangkan.
"Dan jika persoalannya sama ada kami mahu meluaskannya..ia bergantung kepada peluang," katanya.
Keuntungan meningkat
Tahun lalu, syarikat itu mengambil alih Radio Rediffusion Sdn Bhd pada harga RM23.6 juta.
Mengenai tinjauannya bagi tahun semasa, Tan berkata kumpulan itu berkeyakinan pendapatannya akan terus berkembang.
Bagaimanapun, beliau tidak memberi maklumat lanjut.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2004, Star Publication telah mencatatkan keuntungan pra-cukai RM166.208 juta, peningkatan daripada RM137.08 juta yang dicatatkan sebelum ini.
Ia mencatatkan perolehan sebanyak RM692.963 juta, satu peningkatan daripada RM605.167 juta.
Sementara itu, pengerusinya, Yong Ming Sang berkata, sehingga tahun lalu, akhbar harian perdana syarikat itu, The Star , telah mencatatkan peningkatan 12 peratus pembaca kepada 1.11 juta pembaca setiap hari daripada 990,000 sebelum ini.
"Kumpulan itu berkeyakinan mengekalkan edaran sekitar 300,000 naskah, sambil menguasai purata 30 peratus agihan dalam perbelanjaan pengiklanan keseluruhan," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.