Ekoran rayuan pihak pendakwa terhadap Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang berhubung dakwaan sabotaj perkhidmatan kewangan terhadap mereka, kedua-duanya menyerahkan nasib mereka kepada Tuhan dalam kes mahkamah itu yang akan didengar pada hari Isnin.

Jika pendakwaan menang dalam rayuan itu, kedua-duanya - Khairuddin dan Chang - mungkin ditahan lagi.

Khairuddin berkata dia tidak menyesal tetapi sebaliknya sukacita kerana membuat laporan mengenai 1MDB dengan pihak berkuasa di Switzerland, Amerika Syarikat, Hong Kong, Perancis dan Singapura.

"Ini adalah sumbangan kecil saya kepada negara. Walaupun kes itu tidak berjalan sini, seperti yang dapat dilihat di Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat, ia menunjukkan bahawa terdapat asas bagi kes itu," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, beliau tidak menyesal, kerana ketika menjadi pemimpin bahagian Umno, beliau berpegang bahawa ia adalah satu amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah "dan jika ada yang tidak betul, saya perlu cuba dan membetulkannya".

Khairuddin berkata, sebagai seorang Islam dia takut disoal oleh Allah mengapa, sebagai pemimpin, dia tidak melakukan apa-apa untuk membetulkan yang salah.

Menurut Khairuddin, isterinya pelakon Umie Aida memahami perkara itu dan menyokong beliau .

Khairuddin dan Chang telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) atas dakwaan sabotaj perkhidmatan kewangan.

Bagaimanapun, menjelang akhir tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Azman Husin memutuskan bahawa dakwaan sabotaj perkhidmatan kewangan tidak jatuh di bawah Sosma dan membenarkan tertuduh masiang-masing diikat jamin RM10,000.

Sementara itu, Chang, seorang peguam yang mengiringi Khairuddin semasa beberapa laporan yang dibuatnya di luar negara, percaya keadilan akan terserlah juga akhirnya.

"Saya serahkan kepada-Nya," katanya.

[Baca berita penuh]