Ka Chuan: Keahlian bukan Cina dalam MCA perlu kajian menyeluruh
Cadangan untuk menerima keanggotaan bukan Cina dalam MCA perlu dikaji secara menyeluruh dan serius kerana ia melibatkan pindaan perlembagaan parti, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan.
Katanya ia memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan persetujuan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada jumlah keseluruhan perwakilan pusat.
"Kalau nak bawa orang bukan Cina, kena ubah perlembagaan... biasanya perlukan dua pertiga, tapi pada saya ini adalah satu perubahan menyeluruh, sehingga nama (parti) pun mungkin kita kena tukar.
"Buat masa ini, mungkin kita boleh tubuhkan kelab penyokong MCA macam kelab penyokong parti-parti lain," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Wanita MCA ke-41 di ibunegara hari ini. Turut hadir Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie.
Ong berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon yang mahu keanggotaan MCA dibuka kepada masyarakat bukan Cina.
Ong berkata MCA turut akan membuat keputusan berhubung pindaan perlembagaan parti bagi meningkatkan jumlah perwakilan dalam pemilihan kepimpinan pusat menerusi Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) malam ini sempena Perhimpunan Agung (AGM) MCA ke-63.
"Pengundian pimpinan sebelum ini hanya melibatkan 2,400 perwakilan pusat, kita cadang untuk meluaskan kepada peringkat bahagian selepas ini di mana kira-kira 32,000 perwakilan terlibat dalam pengundian itu," katanya.
Ong yakin perjalanan pengundian bagi meminda perlembagaan itu akan berjalan lancar disebabkan taklimat dan konsultasi mengenainya telah diadakan di seluruh negara sejak dua tahun lepas.
Sementara itu, Heng yakin penambahan jumlah wanita dalam pimpinan pusat dan semua peringkat parti dapat direalisasikan menjelang ulang tahun parti tahun depan.
"Wanita MCA bersyukur menerima berita baik yang mana pucuk pimpinan parti kini dalam proses kajian untuk meningkatkan perwakilan wanita dalam barisan pimpinan pusat dan semua peringkat," katanya.
Katanya sejak penubuhan Wanita MCA pada 1975, jumlah keanggotaan telah bertambah daripada 5,105 kepada 448,713 orang setakat ini.
"Setakat 8 November ini, Wanita MCA mencatat 41.5 peratus keanggotaan dalam parti," katanya.
AGM MCA ke-63 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, esok.
- Bernama

