Laporan siasatan kebakaran HSA satu atau dua minggu lagi
Laporan siasatan daripada jawatankuasa siasatan bebas berhubung insiden kebakaran yang meragut nyawa enam pesakit di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, baru-baru ini akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan dalam masa satu atau dua minggu lagi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata beliau dimaklumkan bahawa laporan itu sudah siap dan kini dalam proses penelitian akhir sebelum diserahkan secara rasmi kepadanya.
"Laporan yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) serta wakil lembaga arkitek dan kejuruteraan itu kemudian akan dibawa ke mesyuarat kabinet," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran saringan Talasemia murid tingkatan empat peringkat kebangsaan 2016 di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Jementah dekat Segamat hari ini.
Subramaniam berkata susulan tragedi berkenaan, pihaknya juga mula menjalankan pemeriksaan terhadap bangunan-bangunan hospital berusia lebih 50 tahun di negara ini bagi memastikan bahawa tiada insiden membabitkan keselamatan pengguna kemudahan kementerian berulang.
"Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan semua pengarah hospital dan juga bahagian kejuruteraan kementerian dalam masa terdekat bagi meneliti isu-isu berkaitan keselamatan bangunan hospital dalam masa terdekat," katanya.
Tambahnya, kementerian juga akan menubuhkan satu suruhanjaya bebas selepas laporan rasmi kebakaran itu diterima.
"Kita akan lantik anggota jawatankuasa suruhanjaya itu daripada orang luar (bukan kakitangan kerajaan) yang akan diberikan kuasa untuk membuat siasatan dan (memberi) nasihat kepada kementerian," katanya.
Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata usaha Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pendidikan menganjurkan program saringan Talasemia murid tingkatan empat adalah untuk mengesan mereka yang menjadi pembawa kepada penyakit yang diwarisi itu.
"Pembawa penyakit Talasemia akan diberi perkhidmatan kaunseling agar tidak memilih pasangan yang juga pembawa penyakit itu kerana anak mereka berisiko mendapat penyakit berkenaan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata sehingga kini, lebih 6,000 rakyat Malaysia dikesan menghidapi penyakit itu dan kementerian mengeluarkan belanja lebih daripada RM5,000 bagi merawat seorang pesakit setiap bulan.
Oleh itu, dengan pendedahan program berkenaan, diharapkan dapat mengurangkan kelahiran pesakit Talasemia baharu menjelang 2038.
Beliau juga menjamin program itu akan diteruskan pada tahun depan dan berharap ibu bapa akan menyokong usaha ini dan mengalakkan anak-anak mereka membuat saringan seterusnya mendapat khidmat kaunseling bagi membantu anak mereka.
Talasemia merupakan penyakit keturunan yang menyebabkan tubuh badan seseorang tidak dapat menghasilkan sel darah merah secara normal.
Rosmah lawat mangsa kebakaran HSA
Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melawat mangsa-mangsa kejadian kebakaran HSA yang ditempatkan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
Rosmah yang merupakan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) tiba di lobi hospital itu kira-kira pukul 11.20 pagi.
Ketibaannya disambut isteri Menteri Besar Johor merangkap Yang Dipertua Badan Awam Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Johor (Juita) Datin Seri Rosni Omar, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat.
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rooshaimi Merican A. Rahim dan Pengarah HSI Dr Arbain Lani.
Rosmah yang juga penaung program Permata Negara (Permata) kemudian diiringi ke Bilik Mesyuarat Sri Pandan di bangunan tersebut bagi mendengar taklimat ringkas oleh Dr Rooshaimi berhubung kejadian dan keadaan mangsa.
Taklimat itu berlangsung kira-kira setengah jam dan setelah tamat, beliau dibawa ke Unit Rawatan Kebakaran di tingkat lima bangunan.
Di unit itu, beliau melihat sendiri perkembangan keadaan pesakit S Suppamah, 67, serta dua jururawat HSA iaitu Nursuhaily Saliman, 23, dan Nurul Ain Zulkalnain, 24, yang cedera akibat kebakaran berkenaan.
Rosmah juga dibawa ke wad penjagaan paliatif pediatrik di aras yang sama untuk bertemu dengan dua lagi mangsa yang sudah pulih daripada kecederaan serta enam waris mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi terbabit.
Kesemua mereka diberikan sumbangan wang tunai, masing-masing daripada Bakti, Yayasan Permata dan Juita.
Tragedi pada 26 Oktober itu mengorbankan enam pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu K. Logeswaran, 20, Choo Lin Fung, 37, Toh Ah Wah, 60, Yusof Hassan, 53, M. Kaliama, 23, dan C. Neeramala Devi, 24, serta mencederakan lima yang lain terdiri daripada seorang pesakit, tiga jururawat dan seorang pelajar jurupulih fisioterapi.
- Bernama

