Seorang lelaki berusia 22 tahun yang ketagih menghidu gam mengamuk sehingga mencederakan tiga saudaranya selepas menyerang mereka dengan parang di Kampung Belangsat Lawas, Limbang pada 12.40 tengah hari tadi.

Ketua Polis Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata motif serangan itu dipercayai kerana saudara-maranya itu asyik berleter mengenai ketagihan suspek menghidu gam.

"Mangsa yang cedera parah dipercayai bapa saudara suspek berumur 48 tahun dan masih tidak sedarkan diri di Hospital Lawas," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abang Zainal Abidin berkata bapa saudara suspek mengalami kecederaan serius di kepala dan leher selepas ditetak dengan parang.

Beliau berkata dua lagi mangsa, kedua-duanya lelaki, merupakan sepupu kepada suspek dan menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama.

"Kejadian berlaku di rumah bapa saudaranya dan suspek kemudian melarikan diri ke hutan berhampiran selepas insiden itu," katanya.

Beliau berkata pasukan mencari berjaya menangkap suspek pada 2.15 petang semasa menyembunyikan diri di dalam hutan itu.

"Dia ditahan dan dibawa ke Balai Polis Lawas, kami akan memfailkan permohonan reman esok untuk siasatan lanjut," katanya.

Abang Zainal Abidin berkata suspek yang tidak bekerja itu disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Insiden gaduh, 8 ditahan

Sementara itu di Johor Bahru, polis menahan lapan lelaki susulan kejadian cuba memecah masuk sebuah premis perniagaan yang turut mencetuskan insiden pergaduhan di Endau, Mersing malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Cyril Edward Nuing dalam kenyataan berkata kesemua mereka berumur antara 16 dan 53 tahun ditahan di sekitar kawasan itu, pukul 1 pagi tadi.

Katanya, mereka direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kejadian dipercayai bermula apabila tiga daripada lelaki berkenaan cuba memecah masuk sebuah premis perniagaan di Taman Fajar, namun tindakan mereka disedari pemiliknya yang bertindak mengejar dan memukul ketiga-tiga mereka bersama dengan beberapa rakan lain.

"Akibat perbuatan itu, ketiga-tiga mangsa cedera ringan di beberapa anggota badan termasuk di tangan dan kepala. Mereka kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Endau.

"Bagaimanapun, ia telah mengundang perasaan tidak puas hati sekumpulan lelaki lalu menyebabkan mereka berkumpul di balai itu, selain turut pergi ke premis perniagaan itu dan merosakkan tiga kenderaan pemilik kedai berkenaan," kata Cyril.

Tindakan pantas polis dapat meredakan keadaan dan menyuraikan tindakan kumpulan berkenaan.

Polis mengenal pasti identiti individu-individu terlibat dan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 324/453 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera atau melakukan pecah bangunan dan Seksyen 147 kanun sama akibat merusuh.

Cyril berkata beliau memberi amaran kepada semua pihak agar tidak sesekali mengambil tindakan sendiri kerana akan memburukkan keadaan serta keharmonian masyarakat.

- Bernama