Plus kumpul RM1 bilion dana melalui terbitan bon
Syarikat konsesi lebuhraya, Plus Expressway berkata ia akan menerbitkan bon bernilai RM1 bilion untuk membiayai semula hutangnya dan menaiktaraf Lebuhraya Utara-Selatan.
Syarikat konsesi lebuhraya, Plus Expressway berkata ia akan menerbitkan bon bernilai RM1 bilion untuk membiayai semula hutangnya dan menaiktaraf Lebuhraya Utara-Selatan.
Bon tersebut akan diterbitkan tahun ini manakala kerja menaiktaraf itu pula dijangka menelan belanja RM1.04 bilion, kata syarikat tersebut.
Pengarah Urusan Plus, Datuk Idrose Mohamed berkata CIMB telah diberi mandat untuk mengendalikan penerbitan bon tersebut. Pada masa ini, jumlah hutang Plus adalah kira-kira RM7 juta dalam bentuk bon bertaraf nilai "AAA".
Menurutnya lagi, pihak syarikat telah memperolehi kelulusan pemegang sahamnya untuk mengurangkan hutangnya ke tahap 2.25-2.5 kali (daripada 3 kali sekarang), yang mana akan mengurangkannya sehingga RM400-500 juta.
Idrose berkata, RM400-500 juta itu boleh dimanfaatkan oleh pemegang saham dalam bentuk pemberian dividen yang lebih tinggi atau digunakan untuk pembesaran operasi pada akan datang.
Mengenai syarikat tersebut, beliau berkata, Plus optimistik akan dapat menampung peningkatan lalulintas yang diramalkan pada kadar 5 hingga 6 peratus pada tahun 2005.
"Prestasi kami adalah baik. Kami mencatatkan 1.6 peratus pertumbuhan lalulintas dalam tempoh tiga bulan pertama berikutan kesan kenaikan kadar tol dan bagi tempoh empat (bulan) pertama, kami mencatatkan pertumbuhan 3.2 peratus," katanya.
"Dengan kedatangan cuti sekolah dan musim perayaan, kami menjangka pertumbuhan lalulintas akan bertambah. Kami seharus mampu memenuhi ramalan (kenaikan) 5-6 peratus itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tahunan Plus semalam.
Projek seberang laut
Menurut Idrose lagi, baru-baru ini syarikat berkenaan telah mengemukakan bida untuk mengambil alih operasi dan penyelenggaraan sebuah lebuhraya di Maharaskan, dekat Bombay, India.
"Tender itu telah ditutup bulan lepas. Kami masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa India," katanya.
Idrose berkata, Plus juga telah disenarai pendek bagi menyertai bida peringkat akhir bagi lima pakej lebuhraya dekat Jakarta.
"Kami masih belum memutuskan sama ada akan menyertai projek tersebut. Kami perlu membuat beberapa kajian awal," katanya, sambil menambah pihak syarikat dijangka membuat keputusan mengenainya pad akhir suku tahun ini.
- AFP

