Masanya sudah tiba untuk MCA 'lawan balik', kata Liow
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta anggota parti supaya mula membuat persediaan untuk pilihan raya umum sambil berkata masanya sudah tiba untuk parti "melawan balik".
Sambil menarik perhatian bahawa pelbagai usaha dilakukan untuk melindungi hak masyarakat Cina melalui kepimpinan baharu MCA, beliau menggesa semua ahli menunjukkan kecekapan parti supaya segala sumbangan dapat membantu untuk meraih lebih banyak undi dan seterusnya memulihkan semula parti.
Liow berkata, selepas mengambil alih, kepimpinan baharu bekerja keras dengan mengadakan dialog dari hati ke hati dengan persatuan-persatuan Cina dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat Cina.
Beliau berkata melalui Menteri Kabinet MCA, parti itu telah berjaya melobi Kabinet untuk peruntukan untuk Kampung-kampung Baru Cina dan menerima sejumlah RM147.7 juta dari 2014 hingga 2016.
"Kami boleh bersumpah tanpa teragak-agak bahawa perjuangan MCA semuanya ialah untuk memelihara maruah dan hak masyarakat Cina dan kami tidak pernah berputus asa.
"Saya dengan ikhlas menyeru masyarakat Cina memperkasakan MCA supaya maruah bangsa kita terpelihara selama-lamanya. Untuk misi yang suci ini, kami bersedia sehingga menghirup nafas yang terakhir," katanya dalam ucapan dasar semasa Mesyuarat Agung Tahunan MCA Ke-63, yang dihadiri oleh 1,801 delegasi, malam tadi.
Liow berkata, tidak seperti DAP, MCA sejak penubuhannya beberapa dekad lalu telah berjuang untuk masyarakat Cina dan menyumbang kepada keharmonian sosial dan kestabilan.
"Walaupun hanya mendapat 15 peratus undi masyarakat Cina kerana salah representasi DAP, MCA terus berjuang untuk kaum China, berdiri teguh untuk berjuang dan berkhidmat," katanya.
Liow percaya bahawa MCA merupakan aset yang luas bagi masyarakat Cina dan kedua-duanya tidak dapat dipisahkan.
Ketika ditemui pemberita, Liow menyifatkan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mahu bergabung dalam Pakatan Rakyat hanyalah "pertunjukan' semata-mata dan bersifat sementara bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
"Rakyat tahu mereka hanya 'marriage of convenience'. Mereka akan bercerai, dan menggunakan hala tuju berlainan selepas pilihan raya Rakyat tahu siapa itu Mahathir. Beliau hanya satu tujuan dengan mempunyai agenda peribadi," katanya.
- Bernama

