Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ pelik Dr M sanggup pakai lencana 'Bebaskan Anwar'
Diterbitkan:  Nov 13, 2016 2:00 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad memakai lencana bertulis 'Free Anwar' (Bebaskan Anwar) ketika menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) 2016 semalam sebagai perbuatan yang pelik.

"Pelik betul sebab ini menunjukkan bahawa matlamat menghalalkan semua termasuk bergabung semula dengan musuh tradisi.

"Ini menunjukkan seolah-olah tiada pendirian dalam politik dan sanggup mengenepikan pendirian yang dipegang hampir 20 tahun semata-mata demi kepentingan politik masa pendek," katanya yang juga menteri belia dan sukan, memetik laporan Bernama.

Dalam ucapan beliau semasa konvensyen pertama pakatan itu semalam, Mahathir berharap parti yang dinaunginya itu bersetuju untuk memeterai perjanjian kerjasama dengan HARAPAN.

Kata Dr Mahathir lagi, adalah tidak benar Tan Sri Muhyiddin Yassin menentang penyertaan parti berkenaan ke dalam HARAPAN.

Sebaliknya kata Mahathir, Muhyiddin dan beliau bersependapat untuk menyertai gagasan berkenaan secara langsung kerana berkongsi pandangan bahawa negara ini perlu dibebaskan daripada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Khairy berharap penyokong BERSIH dan kumpulan Baju Merah tidak bertembung semasa perhimpunan BERSIH yang dijangka berlangsung pada Sabtu depan.

Beliau menambah, jika kedua-dua kumpulan itu bertembung, dikhuatiri akan berlaku keadaan yang boleh menjejaskan keselamatan orang awam di kawasan tersebut.

"Kita harap tiada sebarang kekacauan di jalan raya dan kita nak pastikan keamanan di Kuala Lumpur sentiasa terpelihara.

"Saya harap tiada pertembungan antara kumpulan BERSIH dan Baju Merah kerana kedua-duanya dah menyatakan ketegasan untuk berdemonstrasi walaupun tidak dibenarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya selepas Program Fit Masjid 2016, hari ini.

Khairy juga mahu polis menjalankan tugas mereka mengawal serta menjaga keamanan negara dan berharap demonstrasi yang dirancang Sabtu depan, tidak menjadi kenyataan.

Lihat Komen
ADS