Suruhanjaya pengangkutan awam ditubuhkan tahun ini
Suruhanjaya pengangkutan awam akan ditubuhkan tahun ini bagi menyelia dan meningkatkan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang.
Suruhanjaya pengangkutan awam akan ditubuhkan tahun ini bagi menyelia dan meningkatkan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Douglas Uggah Embas, berkata ia dijangka diwujudkan tidak lama lagi dengan mengambilkira perkembangan pesat trafik di pusat-pusat bandar utama terutamanya di Kuala Lumpur.
"Sejak 10 tahun lalu, dianggarkan kira-kira RM14 bilion telah dilabur untuk menaik taraf sistem pengangkutan bandar di Lembah Klang," kata beliau selepas merasmikan persidangan mengenai pengangkutan bandar di sini.
Uggah berkata, walaupun modal yang besar telah dilaburkan untuk membangun dan menaik taraf sistem pengangkutan bandar, tetapi penggunaan pengangkutan awam di bandar telah merosot daripada 34 peratus pada 1985 kepada hanya 16 peratus pada 2003.
"Ini nampaknya bukanlah satu trend yang baik jika dibandingkan dengan bandaraya maju yang lain seperti Seoul (60 peratus), Singapura (56 peratus) dan Tokyo (49 peratus)," katanya.
Berikutan itu, katanya, langkah-langkah telah diambil untuk menstruktur semula sistem pengangkutan awam bandar di Lembah Klang, termasuk mengambilalih operasi dan aset sistem-sistem LRT dan perkhidmatan bas Intrakota dan Park May.
Perkembangan luar biasa
Menurut laporan Bernama, p ada masa ini, operasi perkhidmatan ini dikendalikan oleh syarikat kendalian milik kerajaan manakala aset diberi hak secara berasingan di bawah syarikat aset milik kerajaan.
Dalam tempoh dua dekad lalu, terdapat perkembangan luar biasa dalam sistem pengangkutan darat di Kuala Lumpur, khususnya dalam pembangunan lebuhraya, percantuman pengusaha bas dan operasi sistem landasan bandar bersepadu dalam Komuter KTM, STAR LRT, Lingkaran Rel Ekspres dan KL Monorail.
Sejak operasi sistem rel bandar dilaksanakan, bilangan pengguna sistem ini telah meningkat, seperti yang dicerminkan oleh keutamaan para pengguna yang kian menggalakkan dalam penggunaan sistem rel bandar.
Menurut Uggah, ini terbukti dengan peningkatan penumpang bagi sistem PUTRA LRT, dari 56 juta pada 2003 kepada 58 juta tahun lalu.
Manakala penumpang bagi sistem STAR LRT pula telah menambah dari 39 juta pada 2003 kepada 43 juta tahun lalu.
Penumpang Lingkaran Rel Ekspres (ERL) juga telah bertambah daripada 2.7 juta pada 2003 kepada 3.6 juta tahun lalu.
Pengangkutan bersepadu
Sistem Monorail yang memulakan operasi komersil pada 31 Ogos 2003, mencatatkan 2.9 juta penumpang dalam tempoh empat bulan dalam tahun 2003 dan 12 juta penumpang dalam tahun 2004.
Stesen Sentral Kuala Lumpur menggabungkan stesen-stesen landasan bandar yang terdiri daripada Komuter KTM, PUTRA LRT, KTM Intercity dan KL City Air Terminal.
"Bagi mempromosi dan menyediakan akses dan memudahkan lagi penggunaan pengangkutan awam bandar, kerajaan telah membangun dan akan terus memajukan rangkaian pertukaran dan transit pengangkutan bersepadu di Kuala Lumpur antara sistem-sistem STAR LRT, PUTRA LRT dan Monorail," katanya.
Beliau berkata terminal bas dan teksi yang diintegrasikan dengan sistem pengangkutan rel, akan turut dimajukan untuk mengurangkan kesesakan trafik.
Dalam merealisasikan keperluan dan permintaan yang lebih baik ke arah penggunaan sistem satu tiket bagi kemudahan pengguna, beliau berkata, kerajaan sedang meneliti secara terperinci aspek teknikal untuk memperkenalkan sistem satu tiket bagi semua pengusaha pengangkutan bandar.
Menurutnya, perkhidmatan bas pengantara turut dipertingkatkan untuk mengangkut penumpang secara berkesan dari kawasan-kawasan perumahan ke stesen-stesen LRT.
"Kemudahan letak kereta telah dinaik taraf di mana perlu, bagi mempromosikan konsep "park and ride", tambahnya.

