Penduduk Sg Udang buat laporan BPR terhadap DBKL
Penduduk Kampung Sungai Udang, Segambut meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat mengenai kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam urusan penjualan rumah kos rendah di Taman Cuepacs.
Penduduk Kampung Sungai Udang, Segambut meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat mengenai kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam urusan penjualan rumah kos rendah di Taman Cuepacs.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob mendakwa berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam penjualan rumah tersebut.
"Kenapa DBKL merahsiakan status sebenar projek rumah tersebut setiapkali kami mengajukan soalan untuk membeli rumah kos rendah tersebut sejak tahun 2004 hingga sekarang.
"Kenapa DBKL mengatakan rumah tersebut telah habis dijual, sedangkan penjanjian jual beli belum dibuat dan mengapa merahsiakan senarai pembeli," katanya dalam laporan yang dibuatnya kepada BPR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Pemaju Megah Kepong Sdn Bhd yang membina projek perumahan Taman Cuepacs bersebelahan Kampung Sungai Udang mendakwa ia dimajukan untuk DBKL tetapi dinafikan oleh pihak berkuasa tempatan tersebut.
Mohamad mewakili 28 penduduk setinggan Kampung Sungai Udang membuat laporan BPR terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan dan Ketua Pengarah DBKL Saleh Yusup berkaitan tawaran pembelian rumah kos rendah dan kerja membanci di Taman Cuepacs. Memorandum tersebut diterima oleh seorang pegawai BPR.
Sebelum itu, mereka mengadakan perhimpunan aman di luar pejabat BPR dengan membawa kain rentang yang mendakwa mereka menjadi mangsa penyelewengan DBKL. Turut hadir adalah anggota badan bukan kerajaan Jerit.
Dalam aduan itu, mereka bertanya kenapa pemaju dan bukan DBKL yang menerangkan status projek tersebut kepada penduduk Kampung Sungai Udang.
Senarai pembeli
Mereka juga mendakwa, penduduk luar dari tapak projek perumahan kos rendah itu telah ditawarkan rumah dan DBKL tidak membenarkan penduduk Kampung Sungai Udang melihat senarai pembeli.
"Kenapa DBKL menyerahkan urusan pembancian penduduk dan penjualan rumah tersebut kepada pemaju sedangkan mengikut arahan kerajaan ia perlu dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.
Mohamad berkata, terdapat kecuaian dalam pembahagian rumah rendah oleh DBKL kerana urusan tersebut adalah di bawah tanggungjawab DBKL.
"Penduduk yakin bahawa pembahagian rumah kos rendah Taman Cuepacs adalah tidak adil kerana kami yang terlibat secara langsung dengan pemindahan tidak ditawarkan untuk membelinya," katanya.
Menurutnya, penduduk Kampung Sungai Udang telah melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan rumah kos rendah Taman Cuepacs termasuk menemui Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Samad tetapi tidak berhasil.
Penduduk juga katanya, telah beberapa kali menemui DBKL tetapi sebaliknya mereka diminta menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang. Penduduk menolak kerana mereka mahu membeli rumah dan bukannya menyewa di PPR.
Mereka sebelum ini mengadakan tunjuk perasaan seacra aman di depan Bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya menuntut mereka diberi peluang membeli rumah kos rendah di Taman Cuepacs.
Bagaimanapun, mereka berjaya mendapat perintah mahkamah dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang DBKL daripada merobohkan rumah mereka.

