Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar akan menyiasat laporan mengenai seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memiliki harta berjumlah RM34 juta, sebaik beliau pulang ke tanahair dari Persidangan Ketua-ketua Polis Asean yang berakhir di Nusa Dua, Bali hari ini.

"Saya akan melihatnya apabila pulang ke Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia ketika diminta mengulas Laporan Suruhanjaya Diraja Polis yang dikeluarkan pada umum Isnin lalu.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengakui terkejut dengan jumlah harta yang dimiliki pegawai kanan polis itu, dilaporkan berkata, PDRM perlu menyiasat perkara itu.

Najib berkata, beliau mahu mengetahui bagaimana pegawai polis itu mampu mengumpulkan harta sebanyak itu dan dari mana diperoleh semua harta yang dimilikinya, sambil meminta Bakri memberi perhatian sewajarnya terhadap perkara itu dan mengambil tindakan lanjut di mana yang perlu.

Laporan mengenai pemilikan harta yang banyak itu diterima suruhanjaya berkenaan hasil aduan seorang pesara pegawai polis yang mendakwa terdapat ramai pegawai mempunyai harta berlipat kali ganda melebihi kemampuan pendapatan mereka.

Akhbar melaporkan, pesara pegawai polis itu juga mendakwa memang diketahui umum terdapat seorang pegawai kanan polis yang mengisytiharkan hartanya berjumlah RM34 juta tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap pegawai itu.

Ada yang sudah dilaksanakan

Mengulas laporan suruhanjaya itu yang mengemukakan 125 syor bagi dilaksanakan kerajaan, Ketua Polis Negara, yang diketahui para pegawai dan anggotanya sebagai seorang yang tegas dan keras mengutamakan disiplin, menganggapnya sebagai satu yang positif demi perubahan ke arah kebaikan dalam pasukan polis.

Menurut laporan Bernama, Bakri berkata beberapa saranan suruhanjaya itu sebenarnya telahpun dilaksanakan oleh PDRM sebelum suruhanjaya itu mengumumkan laporannya.

"Kita telahpun melaksanakan sembilan daripada cadangan itu walaupun laporan suruhanjaya itu belum dikeluarkan dan kini dengan sedikit diperhalusi, kita akan melaksanakan 20 cadangan lagi dalam masa terdekat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga cadangan suruhanjaya itu yang perlu dikaji dan diteliti lebih mendalam yang memakan masa kerana ia melibatkan perbincangan yang perlu dilakukan oleh PDRM dengan pihak lain.

Mengenai persidangan tahunan yang berlangsung selama empat hari itu yang dihadiri kesemua 10 ketua polis dari negara-negara Asean, Bakri berkata ia berjalan dengan baik dan telah menghasilkan satu memorandum persefahaman mengenai pangkalan data polis Asean dalam memerangi penyeludupan dadah.

Ketua Polis Negara mengetuai delegasi enam pegawai kanan PDRM ke persidangan itu, termasuk Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari.

Malaysia akan menjadi tuan rumah persidangan itu tahun depan.