Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tiga NGO hari ini melaporkan isu pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) oleh kerajaan negeri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Penasihat Pertubuhan Suara Rakyat Marhaen (SUARA) Zamil Ibrahim meminta suruhanjaya itu memanggil Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pendahulunya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Zamil membangkitkan penjelasan berbeza kedua-dua pihak dalam isu itu.

"Kita minta SPRM bertindak segera jika ada unsur rasuah kerana libat wang rakyat Selangor.

"Sebab kita sebagai rakyat nak tahu siapa yang cakap betul, angka yang dimaklumkan juga berbeza 10 kali ganda," kata Zamil kepada pemberita di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam, hari ini.

Azmin sebelum ini dilapor mendakwa Khalid 'menyorokkan' nilai tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada Splash melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan 19 Julai 2009.

Dakwa Azmin, Khalid sebaliknya hanya menguar-uarkan nilai tawaran ke atas ekuiti syarikat konsesi berkenaan sebanyak RM250.6 juta.

Menjawab tuduhan itu, kata Khalid, tawaran pada 25 Jun 2009 berjumlah RM2.975 bilion kepada Splash, adalah nilai merangkumi ekuiti berjumlah RM1.579 bilion dan liabiliti RM1.396 bilion.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi Badan Amal Tarbiah Sejagat (BATAS) Malaysia, Hafizam Harun pula membangkitkan isu komisen dalam pengambilalihan tersebut.

Turut membuat laporan adalah Gapenas Selangor.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Azmin dan pejabatnya berkaitan perkembangan terbaru ini.

Lihat Komen
ADS