Seorang bapa mualaf gagal hadir membawa anak bongsunya di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mendengar kes rayuan bekas isterinya terhadap kesahihan penukaran agama tiga anaknya secara unilateral oleh bekas suaminya itu.

Meskipun Muhammad Riduan Abdullah, 46, melakukan penghinaan dengan tidak membawa anak perempuan bongsunya Prasana Diksa ke mahkamah, dan tidak menghadiri prosiding Mahkamah Persekutuan, hari ini, peguamnya bagaimanapun percaya bahawa anak guamnya masih di negara ini.

Peguam, Hatem Musa berkata beliau cuba menghubungi Ridhuan semalam untuk memujuknya supaya menghadirikan diri setelah diberi peluang untuk untuk membatalkan dakwaan penghinaan.

"Saya cuba menghubungi beliau tetapi tidak berjaya. Saya juga cuba menghubunginya melalui pihak ketiga tetapi juga gagal," katanya ketika ditanya pemberita.

"Saya masih percaya dia masih dalam negara ini," katanya.

Bekas isteri Ridhuan M Indira Gandhi, 41, juga bersetuju dan mencabarnya untuk tampil ke mahkamah.

Guru tadika itu berkata bekas suaminya itu menghubungi kedua-dua anak mereka yang di bawah peliharaannya dengan menggunakan nombor telefon yang sama.

"Jangan jadi pengecut. Saya tidak akan halang hak lawatan awak.

"Tapi bawa anak saya kembali," katanya kepada media selepas prosiding.

Kali terakhir, Indira Gandhi berjumpa dengan anak bongsunya, Prasana (Ummu Habiba) adalah pada tahun 2010.

Bagaimanapun, mahkamah meneruskan prosiding kes rayuan Indira, seorang guru tadika berusia 41 tahun, tanpa kehadiran Ridhuan.

Pada prosiding hari ini, peguam Indira Gandhi tidak membantah Hatem dibenarkan berhujah di mahkamah.

 K Shanmuga, salah seorang peguam Indira, mencadangkan kepada mahakamah supaya meneruskan kes rayuan tersebut kerana Ridhuan hanya merupakan responden nominal.

Mereka kemudian memaklumkan panel lima hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin bahawa mereka berhasrat untuk meneruskan rayuan itu.

Peguam bersama Indira, Fahri Azzat berkata kedua-dua bapa dan ibu perlu bersetuju dengan penukaran agama seorang kanak-kanak sebelum Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) boleh mendaftarkan perakuan memeluk Islam.

Menurutnya Mahkamah Persekutuan tidak boleh bergantung kepada prinsip keputusan terdahulu pada 2008 dalam kes R Subashini yang memutuskan salah seorang ibu atau bapa boleh membuat keputusan untuk anaknya yang di bawah umur memeluk Islam.

Fahri berkata definisi istilah 'parent' (ibu bapa) di bawah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibaca secara kebersesuaian dengan Seksyen 106(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) dengan takrifan 'parent' sebagai salah seorang iaitu ibu atau bapa.

Seorang lagi peguam perayu, Aston Paiva berkata niat perundangan dalam Seksyen 96 dan 106 enakmen itu adalah bagi memastikan seorang kanak-kanak daripada hasil perkahwinan bukan Islam bukan sahaja perlu mendapatkan keizinan ibu bapa tetapi kanak-kanak itu, walaupun di bawah umur 18 tahun, juga harus memenuhi syarat untuk melafazkan ungkapan dua kalimah syahadah atas kerelaan sendiri.

Katanya lafaz pengakuan agama itu mestilah difahami secara munasabah dalam bahasa Arab dan mengetahui maknanya.

"Keterangan yang tidak dipertikaikan itu di mahkamah merupakan syarat dalam Seksyen 96 (enakmen itu) yang tidak dipenuhi oleh kanak-kanak yang terlibat dalaam kes ini.

"Oleh itu, keputusan Pendaftar Muallaf adalah ultra vires dengan enakmen, sijil penukaran agama yang dikeluarkan kepada kanak-kanak itu patut dibatalkan," katanya.

Pada 29 April tahun ini, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menangkap Ridhuan berhubung kes perebutan hak penjagaan anak antara agama.

Ini kerana mualaf itu gagal membawa Prasana di mahkamah, seperti yang diperintahkan.

Indira merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Dis tahun lalu yang mengembalikan semula sijil penukaran agama tiga anaknya yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.

Ridhuan menukar agama anak-anaknya kepada Islam iaitu dua perempuan dan seorang lelaki, yang kini masing-masing berusia 19, 18 dan lapan tahun pada April 2009 tanpa pengetahuan isterinya.

Pada ketika itu, kanak-kanak itu berusia 11, 12 tahun dan 11 bulan.

Indira dan Pathamathan (Muhammad Ridhuan) telah mendirikan rumah tangga lebih 20 tahun lalu mengikut upacara agama Hindu sebelum bekas suaminya itu memeluk Islam pada 11 Mac 2009.

Prosiding kes rayuan disambung 5 Dis ini.

[Baca berita penuh]