Perhimpunan agung MIC parti politik terbesar kaum India Sabtu ini akan membincangkan pengenalan pelan tindakan 15 tahun untuk menentukan halatuju masyarakat India di Malaysia menjelang tahun 2020.

"Selepas 10 tahun Wawasan 2020 diperkenalkan, tidak dinafikan masyarakat India Malaysia telah mencapai kemajuan dalam bidang tertentu, tetapi kita merasakan kita perlu mempunyai wawasan kita sendiri, wawasan bagi 15 tahun akan datang.," kata Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu.

Bercakal dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini, beliau berkata pelan tersebut akan menggariskan apa yang perlu dicapai masyarakat India Malaysia sebelum negara merealisasikan Wawasan 2020.

Katanya, ini bermakna, menjelang 2020 parti itu akan memastikan masyarakat India setara dengan rakyat Malaysia yang lain, terutaman dalam bidang pendidikan, latihan dan pekerjaan, dengan kemudahan dan gaji lebih baik dan memiliki status baru ekonomi.

Oleh itu, katanya, pengenalan pelan itu akan menjadi fokus perhimpunan agung tahunan ke-59 MIC dijadual pada 28-29 Mei di Pusat Dagangan Dunia Putra, yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengenai bidang pendidikan, Samy Vellu berkata MIC dan masyarakat itu secara menyeluruh telah mengambil "langkah besar mengenai pendidikan" di mana lebih ramai kaum India kini memberikan penekanan terhadap pendidikan anak-anak mereka.

Latih 33,000 belia

Setakat ini, katanya, Kolej TAFE, kolej teknikal milik MIC, telah melatih kira-kira 33,000 belia yang telah diambil bekerja sebagai separa profesional di banyak syarikat dan turut dibayar gaji yang agak baik.

"Begitu juga harapan kita terhadap universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Kedah untuk golongan muda Malaysia, dengan tumpuan khas kepada kaum India yang tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan seumpama itu," katanya.

Menurutnya, parti itu yakin AIMST akan menjadi platform untuk menggalakkan kesedaran pendidikan di kalangan masyarakat India Malaysia dan sebagai tempat bagi ibu bapa untuk memberikan pendidikan profesional yang baik untuk anak mereka.

Katanya, parti itu telah berusaha keras selama 20 tahun lalu bagi menjelaskan kepada kaum India Malaysia mengenai pentingnya pendidikan dan perlunya perubahan paradigma yang hanya boleh dicapai menerusi pendidikan.

Sementara itu, beliau berkata hanya mereka yang mempunyai kualiti kepimpinan berwibawa dan rekod perkhidmatan kepada rakyat yang baik akan diberikan peluang untuk memegang jawatan tertinggi parti.

Kualiti kepimpinan

Pemimpin yang mahukan jawatan parti di peringkat kebangsaan juga perlu menonjolkan kebolehan mereka sebagai orang yang kuat bekerja demi kebaikan masyarakat, katanya semasa diminta mengulas mengenai perbuatan melobi dan berkempen bagi jawatan itu, ketika pemilihan parti hanya tinggal 10 bulan lagi.

Dalam perkembangan lain, Menteri Kerja Raya itu berkata pemimpin parti, khususnya pemimpin cawangan dan bahagian, perlu menukar stail pendekatan mereka selaras dengan tanggungjawab parti.

"Kita merasakan mereka perlu bekerja lebih kuat kerana tanggungjawab parti untuk berkhidmat kepada masyarakat adalah lebih penting. Jadi, sekiranya semua mereka, di peringkat mereka, bekerja lebih kuat dan gigih, saya fikir ia akan dapat mengurangkan beban kami. Ia akan dapat memudahkan cubaan kami bagi pendekatan baru itu," katanya.

Katanya terdapat respons positif daripada pemimpin akar umbi berkenaan dengan lebih banyak daripada mereka lebih kerap menjalankan aktiviti di cawangan dan bahagian masing-masing.

Beliau juga gembira kerana lebih 1,000 daripada 3,800 cawangan telah menulis kepada beliau bagi melaporkan mengenai apa yang mereka lakukan.