Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar: Umno tak sekat ahli sertai himpunan Baju Merah

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu tidak akan mengambil tindakan atau menghalang mana-mana anggotanya yang mahu menyertai perhimpunan anjuran Baju Merah Sabtu ini.

Menurutnya, mana-mana anggota Umno yang menyertai perhimpunan berkenaan adalah atas kapasiti peribadi dan tiada kaitan dengan parti itu.

Bagaimanapun, anggota parlimen Ketereh itu menasihatkan mereka supaya menjadi warganegara yang mematuhi undang-undang.

"Bagaimana kita hendak menghentikan orang daripada buat apa yang mereka mahu buat.

"Kenapa nak ambil tindakan ke atas ahli? Tak boleh ambil. Adakah DAP akan ambil tindakan (ke atas ahlinya)?

"Ia terpulang kepada mereka. Perkara ini adalah individu (untuk menyokong Baju Merah). Anda kena bezakan antara individu dan organisasi.

"Pada peringkat parti, kita tidak akan mengambil tindakan tetapi kita juga tidak menyekat mana-mana ahli yang mahu pergi," katanya yang sekali lagi menegaskan bahawa Umno tidak menyokong mana-mana tindakan yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

'Polis pun tak dapat hentikan'

Selain itu, Annuar turut memberi amaran kepada mana-mana anggota Umno yang melanggar undang-undang pada Sabtu ini supaya bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

"Sedangkan polis pun tidak boleh menghentikan mereka (daripada berdemo), anda jangkakan ketua penerangan boleh hentikan?

"Mereka mempunyai ruang untuk menunjukkan perasaan tetapi kita ingin mengingatkan mereka jika anda lakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, anda perlu bertanggungjawab," katanya.

Diminta mengulas mengenai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyeru orang ramai menyertai himpunan BERSIH 5, Annuar meminta supaya tindakan negarawan itu dimaafkan.

"Lebih baik maafkan dia. Dia sudah 90 tahun, apa yang anda jangkakan? Tak apa, kita bertolak ansur dengan dia," ujarnya.

Pada 19 November gabungan pilihan raya adil dan bersih menganjurkan perhimpunan BERSIH 5 yang bertemakan "Satukan Tenaga, Malaysia Baru!".

Perhimpunan itu dibuat antaranya untuk menuntut pembaharuan pilihanraya dan fungsi institusi-institusi utama di Malaysia.

Ekoran itu, gerakan Baju Merah yang diketuai Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos turut mengisytiharkan untuk mengadakan perhimpunan Baju Merah pada tarikh sama.

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS