Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Proses mediasi menteri, Malaysiakini ditetapkan 28 Nov ini

Proses mediasi antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dengan Malaysiakini dan wartawan Geraldine Tong ditetapkan pada 28 Nov ini.

Peguam K. Shanmuga yang mewakili kedua-dua defendan iaitu Malaysiakini dan Tong ketika dihubungi berkata mahkamah juga menetapkan 29 Nov ini untuk pengurusan lanjut kes itu.

Pada 13 Jan 2016, Abdul Rahman yang ketika itu adalah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memfailkan saman fitnah terhadap Malaysiakini berhubung artikel dan video yang diterbitkan di laman portal itu.

Abdul Rahman yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO dan anggota Parlimen Kota Belud mendakwa artikel serta video yang diterbitkan tanpa kebenarannya itu tidak mencerminkan intipati asal sebaliknya ia disunting seolah-olah plaintif mengarahkan masyarakat di bandar pulang ke kampung.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa pada 6 Nov 2015, defendan secara semberono dan dengan niat jahat menerbitkan atau menyebabkan kenyataan fitnah dan palsu yang merujuk kepadanya, di laman web www.malaysiakini.com yang bertajuk "Minister's 'go back to kampung' notion draws contempt".

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud dirinya tidak mempedulikan kesusahan yang dialami masyarakat berikutan kenaikan kos sara hidup, tidak menggalakkan masyarakat untuk mencari pendapatan di bandar dan tidak sensitif terhadap isu semasa yang memberi kesan kepada masyarakat awam.

Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, kos, faedah serta relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS